Jumaat, 3 Julai 2015

Askar Wataniah


Askar wataniah perlu seiring perkembangan semasa

ARAU - Perubahan peranan Rejimen Askar Wataniah (AW) harus seiring perkembangan semasa selain aspek keselamatan dan tuntutan negara, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda yang menyifatkan AW antara komponen penting dalam arus pembangunan negara melihat institusi itu sebagai ejen perubahan yang harus terlibat dalam pelbagai urusan semasa bersama-sama agensi kerajaan lain.

"AW adalah komponen penting Tentera Darat yang terlibat dengan program 'Strategi Lautan Biru' (NBOS). Peranannya sangat ketara dalam membantu jentera kerajaan secara langsung termasuk operasi bantuan kemanusiaan dan bencana.

"Ancaman masa kini tidak lagi bersifat 'tradisional' seperti dahulu. Ancaman sekarang dalam pelbagai dimensi termasuk keganasan, jenayah siber, pemerdagangan manusia, pendatang asing tanpa izin dan senjatapi," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang merupakan Komander (Bertauliah) Rejimen 504 AW berpangkalan di Kem Bukit Ketri, dekat sini, bertitah demikian pada majlis sambutan Hari Ulangtahun AW di perkarangan Masjid Bukit Ketri, semalam.

Turut hadir Timbalan Komander Rejimen 504 Lt-Kol Azhar Ahmad; Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Abdul Malik Hussin hadir.

"Dalam konteks semasa, beta mahu AW dilatih mengenali ancaman dan bagaimana mereka harus bertindak, sesuai dengan peranan mereka sebagai benteng  pertahanan negara.

"Contohnya ialah penemuan 106 rangka mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma di Wang Kelian baru-baru ini hendaklah dijadikan pengajaran agar pasukan keselamatan berupaya mengesan sesuatu insiden dengan pantas," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Bersempena sambutan itu pada hari pertama Ramadan, anggota AW Rejimen 504 bergotong royong membersihkan kawasan masjid dan tanah perkuburan serta  memasak bubur lambuk yang diagihkan kepada kariah yang hadir.

Pada majlis itu, baginda juga menyampaikan zakat MAIPs kepada keluarga anggota Rejimen 504 AW yang layak.

Tuanku Syed Faizuddin kemudiannya bersama-sama 50 peserta mengayuh basikal sejauh 14 kilometer dalam program 'Jejak Asnaf MAIPs' bagi menyampaikan  akat MAIPs berupa wang tunai RM500, sekampit beras dan kotak barangan kepada empat keluarga.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan