Jumaat, 3 Julai 2015

Kastam Perlis


Kastam Perlis tingkat pengawasan kawasan panas

50 Bas di Perlis - Henti-henti


50 bas henti-henti mula beroperasi

Bas Henti - henti - Perlis


Bas henti-henti beroperasi di Perlis 30 Jun

Jual Semula Makanan


Elak jual semula makanan tak laku

Meniaga Dalam Banjir


 Terpaksa berniaga dalam banjir


Pelanggan terpaksa meredah banjir untuk membeli barangan keperluan di pasar berkenaan. 
 
KANGAR - Peniaga di Pasar Tani Simpang Empat di sini, terpaksa meneruskan perniagaan walaupun kawasan berkenaan dimasuki air setinggi paras buku lali.

Keadaan itu dialami mereka sejak beberapa hari lalu setiap kali hujan di kawasan berkenaan.

Peniaga ikan Mansor Ahmad, 70, berkata, keadaan itu menyebabkan mereka sukar berniaga kerana kekurangan pelanggan.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kali kedua dialami sejak empat tahun berniaga di pasar berkenaan, tahun lalu kejadian sama berlaku tetapi pihak berkenaan menyelesaikannya dengan mengorek longkang berhampiran.

“Jika hujan semalaman, pada waktu pagi kami akan membuka gerai di dalam air dan menyebabkan hanya segelintir pelanggan yang sanggup turun meredah banjir untuk membeli barangan di sini,” katanya.

Manakala, pelanggan, Jamilah Ali, 45, berkata, tapak pasar tani itu menawarkan pelbagai pilihan menyebabkan dia sanggup meredah air untuk membeli barangan keperluan dapur.

Jelasnya, air yang melimpah di tapak pasar itu kotor dan berwarna hitam selain turut dicemari sampah dari sungai berdekatan.

“Saya risau jika ada pelanggan atau peniaga terkena penyakit bawaan air jika keadaan berterusan begini semasa musim hujan,” katanya.

Sementara itu, Adun Simpang Empat, Norulhisham Yaacob berkata, pihak Fama perlu melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, perkara itu telah dibangkitkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) malah kedua-dua pihak berkenaan sudah mengambil tindakan sewajarnya dengan mengorek serta mengutip sampah di dalam longkang.

“Malah peniaga sendiri ada yang berusaha menambak batu bagi meninggikan tapak gerai mereka namun ia bukan jalan penyelesaian yang terbaik kecuali pihak Fama melakukan sesuatu.

“Air sungai mati berhampiran tapak pasar tani itu melimpah ke dalam longkang setiap kali hujan manakala sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung jumlah air berkenaan menyebabkan tapak pasar dimasuki air,” katanya.

Justeru Norulhisham berkata, beliau akan menulis surat kepada Fama bagi mengetengahkan masalah itu selain meminta pihak berkenaan supaya mencari jalan penyelesaian untuk jangka masa panjang.







Askar Wataniah


Askar wataniah perlu seiring perkembangan semasa

ARAU - Perubahan peranan Rejimen Askar Wataniah (AW) harus seiring perkembangan semasa selain aspek keselamatan dan tuntutan negara, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda yang menyifatkan AW antara komponen penting dalam arus pembangunan negara melihat institusi itu sebagai ejen perubahan yang harus terlibat dalam pelbagai urusan semasa bersama-sama agensi kerajaan lain.

"AW adalah komponen penting Tentera Darat yang terlibat dengan program 'Strategi Lautan Biru' (NBOS). Peranannya sangat ketara dalam membantu jentera kerajaan secara langsung termasuk operasi bantuan kemanusiaan dan bencana.

"Ancaman masa kini tidak lagi bersifat 'tradisional' seperti dahulu. Ancaman sekarang dalam pelbagai dimensi termasuk keganasan, jenayah siber, pemerdagangan manusia, pendatang asing tanpa izin dan senjatapi," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang merupakan Komander (Bertauliah) Rejimen 504 AW berpangkalan di Kem Bukit Ketri, dekat sini, bertitah demikian pada majlis sambutan Hari Ulangtahun AW di perkarangan Masjid Bukit Ketri, semalam.

Turut hadir Timbalan Komander Rejimen 504 Lt-Kol Azhar Ahmad; Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Abdul Malik Hussin hadir.

"Dalam konteks semasa, beta mahu AW dilatih mengenali ancaman dan bagaimana mereka harus bertindak, sesuai dengan peranan mereka sebagai benteng  pertahanan negara.

"Contohnya ialah penemuan 106 rangka mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma di Wang Kelian baru-baru ini hendaklah dijadikan pengajaran agar pasukan keselamatan berupaya mengesan sesuatu insiden dengan pantas," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Bersempena sambutan itu pada hari pertama Ramadan, anggota AW Rejimen 504 bergotong royong membersihkan kawasan masjid dan tanah perkuburan serta  memasak bubur lambuk yang diagihkan kepada kariah yang hadir.

Pada majlis itu, baginda juga menyampaikan zakat MAIPs kepada keluarga anggota Rejimen 504 AW yang layak.

Tuanku Syed Faizuddin kemudiannya bersama-sama 50 peserta mengayuh basikal sejauh 14 kilometer dalam program 'Jejak Asnaf MAIPs' bagi menyampaikan  akat MAIPs berupa wang tunai RM500, sekampit beras dan kotak barangan kepada empat keluarga.




Zakat Fitrah Kekal RM 6.50


Bayaran fitrah di Perlis kekal RM6.50



KANGAR - Kadar bayaran zakat fitrah bagi negeri Perlis tahun ini sama seperti tahun lepas iaitu RM6.50 seorang.
 
Menurut jurucakap Baitulmal, Majlis Hal Ehwal Agama Islam Perlis (MAIPs), bayaran fitrah boleh dibuat mulai hari ini sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri.
 
Beliau menasihati umat Islam di Perlis supaya membayar zakat fitrah mereka kepada amil yang dilantik oleh MAIPs di kariah masing-masing.
 
Menurutnya MAIPs telah melantik sebanyak 105 amil dan kaunter bayaran fitrah turut dibuka di pasar raya dan pasar Ramadan terpilih.
 
Jurucakap itu berkata selain membayar fitrah, umat Islam juga boleh membayar wakaf tunai kepada amil sebagai sumbangan untuk MAIPs menjalankan projek kebajikan antaranya membuka pusat rawatan hemodialisis.