Selasa, 21 Januari 2014

Wang Tidak SAH



Padah beri pinjam wang tidak sah



            Zull Aznam menunjukkan kad pembayaran serta perjanjian antara ah long dan pelanggan

 


Zull Aznam menunjukkan dokumen pelanggan yang membuat pinjaman ah long kepada pemberita.

  • KANGAR - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai ah long dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Murni, dekat sini, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri kira-kira jam 10.30 pagi selepas menerima maklumat.

    Katanya, hasil serbuan dalam Ops cantas Khas Ah Long, polis menemui pelbagai jenis dokumen dan peralatan yang mengaitkan kegiatan suspek memberi pinjaman secara tidak sah.

    “Antara dokumen tersebut adalah perjanjian pinjaman pelanggan dengan suspek, selain rekod pembayaran peminjam.

    “Semasa rampasan dibuat terdapat lebih 80 pelanggan yang masih aktif membuat pinjaman kepada suspek, mereka ini terdiri daripada peniaga kecil selain individu yang telah disenarai hitam pihak bank,” kata beliau kepada pemberita di IPK Perlis, semalam.

    Zull Aznam memberitahu, suspek mengenakan faedah sebanyak 20 peratus dari kadar pinjaman dan peminjam hendaklah membuat pembayaran setiap hari atau minggu yang akan direkodkan suspek menerusi kad yang disediakan.

    Selain itu, katanya, pelanggan juga boleh membuat pembayaran dengan terus memasukkan wang ke dalam akaun bank suspek.

    “Suspek didapati aktif menjadi ah long hampir lima tahun lalu dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai basikal dan kafe siber miliknya.

    “Polis akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 pindaan 2011 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

    Tambah beliau, bagi kesalahan kali kedua, pesalah turut boleh dikenakan hukuman sebatan.

    Sementara itu, sepanjang 2013, polis Perlis merekodkan 175 kes penipuan seperti penipuan individu, gores dan menang dan skim cepat kaya dan lain-lain yang melibatkan kerugian lebih RM200,000.

    Justeru, Zull Aznam menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan penawaran dan hadiah menarik oleh pihak tertentu selain berwaspada dengan peminjam wang tanpa lesen.








      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan