Selasa, 21 Januari 2014

3 beradik GAGAL


Tiga beradik gagal seludup benih kerang 

Sebanyak 191 guni benih kerang yang dirampas anggota UPP Perlis.


KANGAR - Tiga beradik ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis apabila cuba menyeludup enam tan benih kerang bernilai kira-kira RM382,000 ke Thailand, semalam.

Pemangku Komander UPP Perlis, Asisten Superintendan Bahari Ahmad berkata, ketiga-tiga beradik berusia 18, 22 dan 25 tahun itu ditahan ketika hendak berhenti makan selepas memasuki plaza tol Alor Setar (Utara) dengan sebuah lori.

Katanya, semasa ditahan pada jam 2.45 petang itu, terdapat sebanyak 191 guni berisi benih kerang di dalam lori terbabit.

“Penahanan mereka dibuat selepas anggota UPP membuat intipan dan mengekori lori berkenaan dari Kedah sejurus menerima maklumat daripada orang awam.

“Seorang dari mereka bertindak sebagai pemandu lori manakala dua lagi sebagai kelindan dan mereka yang berasal dari Perak ini mengaku hanya menerima upah sebanyak RM600 untuk menghantar benih kerang itu ke Thailand menerusi Bukit Kayu Hitam,” katanya kepada pemberita di Kompleks UPP Kuala Perlis, di sini semalam.

Bahari berkata, benih kerang dari negara ini sangat berkualiti dan berikutan itu ia mendapat permintaan yang sangat tinggi dari negara jiran.

Menurutnya, permintaan yang tinggi itu membuatkan rakyat negara ini mencuba nasib menjual benih kerang itu ke Thailand.

“Benih kerang yang dipercayai diperoleh dari Kuala Sepetang, Perak itu mampu mencecah harga sehingga RM2,000 bagi setiap 30 kilogram di pasaran Thailand.

"Kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan di bawah Peraturan 9 (2) Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultura Kerang) 2002 untuk tindakan lanjut," katanya. 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan