Ops Harga: Lapan peniaga bakal didakwa
Pengarahnya, Khairul Amin Talib (gambar) berkata, lima peniaga akan didakwa kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 manakala tiga lagi kesalahan disiasat mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
"Kesemua peniaga ini akan dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin selepas siasatan lengkap dijalankan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai operasi itu di Pasar Sena di sini hari ini.
Yang turut hadir, timbalannya, Razali Lebai Salleh.
Khairul Amin berkata, pihaknya juga sebelum ini telah menjalankan pemeriksaan ke atas 168 premis sempena Ops Harga itu.
"Pemeriksaan dijalankan di empat buah pasar iaitu Pasar Sena, Pasar Kuala Perlis, Pasar Burma di Kuala Perlis dan Pasar Simpang Empat," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga telah merampas barangan bernilai RM2,004 sepanjang operasi tersebut.
Sementara itu katanya, sebanyak 18 pegawai penguat kuasa dan 10 pemantau harga terlibat dalam Ops Harga yang dijalankan hari ini.
Khairul Amin berkata, pihaknya mendapati peniaga masih berdegil dan tidak meletakkan tanda harga sekalipun menyedari ini merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah.
Menurutnya, pihaknya percaya ini adalah salah satu dari taktik untuk mengelirukan pengguna.
"Jika tiada tanda harga maka mereka (peniaga) mudah untuk menaikkan harga dengan sesuka hati bagi mendapat keuntungan berlipat kali ganda," katanya.
Tambah beliau, sempena dengan Ops Harga ini pihaknya akan terus mengeluarkan saman ke atas peniaga yang degil supaya dapat didakwa selain menjadi satu pengajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan