KANGAR - Kadar bayaran zakat fitrah bagi negeri Perlis tahun ini sama seperti tahun lepas iaitu RM6.50 seorang.
 
Menurut jurucakap Baitulmal, Majlis Hal Ehwal Agama Islam Perlis (MAIPs), bayaran fitrah boleh dibuat mulai hari ini sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri.
 
Beliau menasihati umat Islam di Perlis supaya membayar zakat fitrah mereka kepada amil yang dilantik oleh MAIPs di kariah masing-masing.
 
Menurutnya MAIPs telah melantik sebanyak 105 amil dan kaunter bayaran fitrah turut dibuka di pasar raya dan pasar Ramadan terpilih.
 
Jurucakap itu berkata selain membayar fitrah, umat Islam juga boleh membayar wakaf tunai kepada amil sebagai sumbangan untuk MAIPs menjalankan projek kebajikan antaranya membuka pusat rawatan hemodialisis.