KANGAR - Peniaga di bazar Ramadan di negeri ini diingatkan supaya tidak menjual semula makanan yang tidak terjual kerana boleh menyebabkan keracunan makanan.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zaini Husin berkata, peniaga perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan kerana makanan yang dimasak mempunyai tempoh masa tertentu walaupun belum basi.

Menurutnya, makanan yang tidak habis dijual tidak boleh dijual semula esok kerana walaupun tidak basi tetapi boleh memudaratkan pelanggan selain menyebabkan keracunan makanan.

“Contohnya daging ayam, jika tidak dinyah beku secukupnya, boleh menyebabkan keracunan makanan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dr Zaini juga menasihatkan peniaga mengutamakan kebersihan ketika proses penyediaan sehingga penjualan supaya Perlis bebas daripada kes keracunan manakan di sepanjang Ramadan ini.

Jelasnya,  pihak jabatan kesihatan akan melakukan pemantauan ke setiap bazar Ramadan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga menitikberatkan soal kebersihan.

“Pada tahun ini sebanyak 20 kakitangan penguatkuasaan akan melakukan tugas tersebut, jika ada aduan atau laporan diterima tindakan tegas akan diambil.

“Sebelum itu sampel makanan yang dijual akan diambil untuk pemeriksaan lanjut dan jika dikesan makanan yang dijual mengandungi pencemaran barulah tindakan penguatkuasaan akan dilakukan,” katanya.