Antara mentarang yang dinaikkan peserta.
KANGAR - Seorang suri rumah tidak menyangka siput mentarang yang dinaikkan sebanyak 48 kilogram menjadikannya juara pada Pertandingan Seluk Mentarang yang diadakan di Kampung Sungai Belati, Simpang Empat.

Romlah Che Me, 40, dari Kampung Kuala Sungai Padang berjaya mengalahkan lebih 25 peserta lain dan menerima motosikal terpakai sebagai hadiah utama pertandingan tersebut yang dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Belati.

Menurutnya, pengalamannya sejak 30 tahun lalu mencari mentarang menyebabkan dia sudah biasa dengan lumpur pantai dan terik matahari.

"Sejak 10 tahun saya dah ikut orang tua cari mentarang, sebab itulah saya tahu selok-belok lokasi mentarang selain tangan dah terbiasa menyeluk mentarang di dalam lumpur.

“Malah siput ini juga sebahagian sumber rezeki keluarga saya sejak dulu lagi.
 
 Alhamdulillah pengalaman ini akhirnya berbaloi untuk saya menangi sebuah motosikal terpakai yang dapat saya gunakan untuk aktiviti harian kami,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan
tersebut di Kampung Sungai Belati.

Tempat kedua pertandingan itu dimenangi Erwanshah Derani, 38, apabila berjaya mencari 34 kilogram mentarang manakala Rashidah Omar, 51, di tempat ketiga dengan 31 kilogram mentarang berjaya dinaikkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Belati, Hassan Ya, 47, berkata, pihaknya sentiasa berusaha mewujudkan pertandingan yang boleh mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung.

“Pihak saya juga mahu memperkenalkan kampung ini kepada masyarakat luar kerana kebanyakan penduduk menjual mentarang sebagai sumber pendapatan.

“Walaupun hadiahnya sekadar motosikal terpakai dan hamper, namun ia dapat menghimpunkan masyarakat kampung ini termasuk penduduk di sekitar kawasan Simpang Empat,” katanya.

Selain pertandingan itu, penganjur juga mengadakan pertandingan kucing tercantik dan lari dalam sawah bagi wanita warga emas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Adun Simpang Empat, Nurolhisham Yaacob turut hadir menyaksikan acara yang dipertandingkan.
 
 
 
Tik lama lagi.........PESTA ANGIN TIMOQ PLAK......JANGAN LUPA NOOOOO