Asmaiza berucap pada sesi dialog antara penduduk Kampung Cikgu Ali dengan Syarikat Air Perlis Sdn Bhd berhubung penyelarasan bil air bagi rumah ibadat.
PADANG BESAR - Berikutan tunggakan bil air sehingga mencecah ribuan ringgit, penduduk di Kampung Cikgu Ali, Jalan Kok Klang, Chuping, di sini, meminta supaya bil air di rumah ibadat di seluruh negeri Perlis diselaraskan supaya tidak membebankan penduduk.

Menurut Ketua Cawangan Umno kampung berkenaan, Zuriyad Satiri, 29, cadangan itu disuarakan selepas pihaknya sukar mendapat peruntukan untuk membayar bil air surau setelah ia juga tertunggak seperti bil air di rumah mereka.

“Adalah lebih baik ia diselaraskan dengan nilai minima iaitu kira-kira RM10 setiap rumah ibadat supaya tidak membebankan ahli jawatankuasanya untuk mencari wang setiap bulan bagi membayar bil.

“Keadaan di kawasan bandar dan kawasan luar bandar tidak sama, seperti di surau kami, kebanyakan jemaah adalah penoreh getah, kutipan untuk tabung surau tidak memberangsangkan seperti di kawasan bandar,” katanya ketika sesi dialog antara penduduk Kampung Cikgu Ali dengan Syarikat Air Perlis Sdn Bhd yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Abdul Hamid Sahid di surau kampung tersebut baru-baru ini.

Turut hadir, Adun Chuping, Asmaiza Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutf BPO Innovation (Perlis) Sdn.Bhd, Mohd Fazil Mustafa.

Jelas Zuriyad, selain kurang peruntukan, pihaknya juga aktif melakukan pelbagai aktiviti di surau tersebut menyebabkan air yang digunakan tiada had.

“Ia merupakan antara cadangan pihak kami, cadangan ini juga tidak terhad kepada surau atau masjid sahaja tetapi juga kepada rumah ibadat lain di negeri ini,” tambahnya.

Sementara itu, Abdul Hamid memberitahu pihaknya sedar mengenai keadaan itu terutama bagi penduduk di luar bandar.

Kata beliau, sehingga kini tiga masjid di negeri ini dikecualikan dari membayar bil air namun beliau akan mengetengahkan cadangan itu kepada Exco Kemudahan dan Prasarana Awam. Jafperi Othman.

“Perkara ini saya akan usahakan agar YB Jafperi membangkitkannya di dalam mesyuarat exco supaya mereka dapat buat keputusan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Asmaiza turut menyatakan persetujuan untuk memaklumkan cadangan itu kepada exco berkenaan supaya penduduk mendapat manfaat dari cadangan yang disuarakan.