Rabu, 31 Julai 2013

Raja Muda Jejak Asnaf


Raja Muda Perlis berbasikal jejak asnaf

 
KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berbasikal sejauh 13 kilometer menjelajah kampung dalam kawasan Mata Ayer dekat sini sempena program menjejak asnaf anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs memulakan kayuhan di Masjid Al Munawarah Mata Ayer dan singgah di rumah dua penerima kurang upaya untuk menyerahkan sumbangan zakat MAIPs iaitu masing-masing menerima RM400.
 
Bagi Nursyuhada Hussin, 31, dari Kampung Balik Guar dan Halim Darus, 60, dari Kampung Baru Guar Nangka, mereka bersyukur terpilih menerima sumbangan itu dan amat berbesar hati kerana Raja Muda berkenan menyampaikan sumbangan itu di kediaman mereka.
 
Program itu turut disertai Pengurus Baitulmal Perlis Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron, Timbalan Ketua Polis Daerah Arau DSP Ishak Baharom dan Pegawai Memerintah 4 Renjer Diraja Kem Oran Lt Kol Ahmad Norzaini Badrun.
 
Selepas menyampaikan sumbangan, baginda bersama peserta kayuhan turut singgah di bazar Ramadan Mata Ayer dan meninjau gerai-gerai yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa.
 
Zull Aznam dan Timbalan Ketua Polis Daerah Arau DSP Ishak Baharom turut mengedar risalah kempen pencegahan jenayah kepada peniaga dan pengunjung bazar itu.
 
Tuanku Syed Faizuddin mengakhiri kayuhan di Masjid Al Munawarah, tempat baginda memulakan kayuhan itu.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan