Rabu, 31 Julai 2013

Jenamakan Kompleks


Kompleks Agama dan Syariah Perlis dijenamakan

KANGAR - Kompleks Agama dan Syariah Perlis yang menjadi simbol pentadbiran syariah di Perlis di Jalan Pegawai di sini kini diberi nama Darul Qada' Tuanku Syed Sirajuddin.
  
Kompleks setinggi tujuh tingkat berharga RM20 juta itu dan mula beroperasi pada 2006, menempatkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis.
  
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merasmikan kompleks itu serentak dengan penjenamaan semula namanya malam tadi.
  
Ketika merasmikan bangunan itu, baginda menyatakan harapan supaya Jabatan Kehakiman Syariah Perlis sentiasa bertidak tegas dan menyelesaikan secepat mungkin kes-kes syariah yang difailkan.
  
Baginda bertitah jabatan itu bukan sekadar mengeluarkan hukuman melalui mahkamahnya tetapi juga bertanggungjawab menangani kes-kes kekeluargaan Islam supaya institusi kekeluargaan yang retak dapat dipulihkan.
  
Pada majlis itu, baginda yang diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berbuka puasa di kompleks itu serta bersolat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih di tempat yang sama.
  
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullal selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta hadir sama Menteri Besar Perlis Azlan Man.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan