Isnin, 27 September 2010

Berita Semasa 2010

Hanya jual 4 ekor ayam sehari



KANGAR - Seorang peniaga ayam proses mengeluh berikutan hanya mampu menjual empat ekor ayam semalam, selepas beroperasi di tapak perniagaan baru di Pasar Besar Kangar (PBK) berhampiran Flat Seri Sena, di sini.

Peniaga, Musa Sudin, 62, yang menjalankan perniagaan itu sejak 30 tahun lalu berkata, disebabkan itu dia terpaksa membuang tiga pekerjanya kerana tidak mampu membayar gaji berikutan perniagaan yang tidak mendapat sambutan.

Menurutnya, sejak beroperasi di pasar baru, dia hanya mampu menjual tiga ekor ayam dan jualannya meningkat seekor kepada empat ekor semalam.

“Ketika beroperasi di PBK lama dulu, saya mampu menjual antara 150 hingga 200 ekor ayam proses sehari. Kini, saya seorang sudah memadai untuk menguruskan kedai ayam kerana ketiadaan pelanggan,” katanya ketika ditemui di pasar terbabit, semalam.

Musa berkata, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) perlu melakukan sesuatu termasuk memindahkan operasi lot menjual ayam, santan dan runcit ke lokasi lain yang berhampiran.

“Kini, kedudukan gerai ayam dan santan agak terpencil dan jauh daripada pandangan orang ramai. Malah, laluan masuk ke 11 gerai itu juga sempit sehingga menyukarkan pelanggan memasukinya.

“Saya mengalami kerugian besar sejak tiga hari lalu memandang beratus ayam yang siap diproses masih disimpan dalam peti sejuk,” katanya.

Seorang peniaga santan, Ismail Bakar, 53, turut mengalami nasib sama apabila perniagaannya terjejas teruk sejak beroperasi di PBK baru.

“Kami mahu operasi perniagaan kami diasingkan ke tempat lain di sekitar PBK ini untuk kemudahan orang ramai melihat serta membeli santan dan ayam proses. Sejak beroperasi di tempat baru ini, jualan santan sekitar RM50 sehari berbanding RM200 sehari di PBK lama,” katanya.

Menurutnya, lot peniagaan disediakan seluas adalah kecil, malah kedudukan tertutup juga menimbulkan ketidakselesaan kepada peniaga kerana panas.
Ismail berkata, laluan pejalan kaki memasuki lot gerai santan dan ayam proses juga begitu sempit hanya seluas 1.5 meter dan kehadiran beberapa pelanggan sudah menimbul kesesakan di kawasan lot perniagaan.

Peniaga runcit, Ana Johari, 37, berkata, dia terpaksa menyimpan sebahagian barangan jualannya di rumah kerana lot perniagaan disediakan adalah kecil, selain kedudukan dalamannya tiada ruang udara.

“MPK perlu melihat masalah ini dan bertindak menyelesaikannya selepas mengarahkan kami berpindah ke pasar baru ini,” katanya.

Sinar Cakna - Utara 270910




Dr Marshitah gesa KDN segera siasat paderi hina Nabi Muhammad

BH - Utama 270910

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Marshitah Ibrahim, hari ini meminta Kementerian Dalam Negeri dengan segera melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap seorang paderi yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam dalam satu ceramahnya di sebuah gereja di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan