Wujudkan mekanisme atasi lambakan padi, beras
KANGAR - Kerajaan pusat perlu mewujudkan satu mekanisme khas bagi mengatasi masalah lambakan padi dan beras yang berlaku pada setiap musim penuaian padi, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) 2015 peringkat negeri di Dewan 2020 di sini hari ini, beliau turut mencadangkan supaya stok penyimpanan padi diwujudkan agar tidak semua padi perlu diproses selepas dituai.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung lambakan padi dan beras di Pusat Belian Padi di negeri ini.
Pengilang-pengilang swasta yang dilantik oleh syarikat PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) dilaporkan tidak dapat membeli padi para petani kerana kilang mereka dipenuhi guni-guni berisi beras yang tidak diambil Bernas.
Azlan berkata beliau dimaklumkan oleh pengilang-pengilang swasta terdapat beras yang tidak ambil oleh Bernas melebihi dua tahun dan tersimpan sehingga sekarang.
"Adalah wajar kerajaan melaksanakan satu mekanisme khas bagi mengatasi masalah tersebut supaya ia tidak berulang," kata Azlan.
Katanya beliau akan meminta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ahmad Bakri Ali memanjangkan cadangan itu kepada kerajaan pusat untuk dipertimbangkan.
Mengenai BRIM hari ini, Menteri Besar itu berkata lebih 53,000 penduduk Perlis layak menerima bantuan itu termasuk 38,000 permohonan yang masih diproses oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hari ini, 2,552 penerima yang tidak mempunyai akaun simpanan bank mendapat bantuan itu secara tunai dengan setiap seorang menerima antara RM200 dan RM350 mengikut kategori.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan