Jumaat, 6 Februari 2015

Kuips - Modal Insan


Kuips mampu capai matlamat lahir modal insan


Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
 
ARAU - Penubuhan Kolej Universiti Islam Perlis (Kuips) di bawah naungan Majlis Agama Islam Perlis (Maips) mampu memenuhi tanggungjawab dan matlamat pendidikan Islam di negeri ini, termasuk pembentukan modal insan dalam bidang profesional berteraskan Islam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Kuips juga berupaya melahirkan tekno-daie (pendakwah yang mempunyai kemahiran teknologi) untuk membimbing ummah ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat serta membentuk golongan korporat Islam berteraskan syariat dan muamalat.
  
"Graduan Kuips turut dibentuk untuk membuat penyelidikan merangkumi ilmu agama bagi membawa kemajuan ummah Islamiah melalui teknologi semasa," titah baginda ketika menutup 'Minggu Mesra Siswa Kuips Sidang 2015-2016' di Dewan Serbaguna Kolej Kediaman Putra Height, Guar Nangka.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Rektor Kuips Dr Mohd Mizan Mohd Aslam dan Anggota Lembaga Pengarah serta pegawai kanan Kuips.
  
Kuips yang menerima kemasukan sulung pelajar lapan bulan lepas, kini mempunyai 159 pelajar iaitu 89 peringkat Asasi Muamalat, 55 Diploma Perbankan Islam dan 15 Sarjana Perbankan dan Kewangan Islam.
   
Beberapa jurusan akan ditambah mulai April ini, termasuk Asasi Pengajian Islam, Diploma Syariah, Diploma Usuluddin, Diploma Pengajian Islam, Diploma Pengurusan Harta Islam dan Sarjana Muda Pengajian Islam, titah Tuanku Syed Faizuddin.
 
Baginda yang juga Yang DiPertua Maips menyarankan pihak yang mempunyai kepentingan supaya terlibat membantu Kuips mengembangkan kurikulum, memantapkan kemahiran insaniah, keusahawanan, penajaan dan penempatan industri pelajar.

Sempena majlis itu, berlangsung majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Kuips dan Yayasan Angkasa ke arah meningkatkan kerjasama bijak pembangunan akademik, penyelidikan serta perkongsian ilmu, tenaga pakar dan teknologi.
 
Kerjasama tersebut juga memberi peluang kepada graduan yang memenuhi syarat untuk ditawarkan biasiswa pada pengambilan Julai dan September ini.
  
Bersempena majlis itu diadakan program berbasikal petang ini, manakala pada sebelah malam, Mufti Perlis yang baharu Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyampaikan ceramah 'Kesenian dan Kebudayaan Menurut Perspektif Islam', yang mana baginda berkenan hadir.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan