Jumaat, 6 Februari 2015

GST - HARAM


ADUN buat laporan polis guru agama dakwa GST haram

 



Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid hari ini membuat laporan polis terhadap seorang guru agama, yang didakwa menyatakan Sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah haram bagi orang Islam ketika menyampaikan kuliahnya di Masjid Bagan Lebai Tahir di sini, Jumaat lalu.

Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar berkata laporan polis itu dibuat di Balai Polis Teluk Air Tawar kerana kenyataan guru agama berkenaan pada kuliah Maghrib itu boleh menimbulkan kekeliruan mengenai pelaksanaan GST.

"Saya menerima aduan daripada seorang anggota kariah masjid itu yang mendakwa ustaz berkenaan dalam kuliahnya menyatakan GST haram dikenakan ke atas orang Islam dan hanya boleh dikenakan ke atas orang bukan Islam. 

"Kuliah yang disampaikan ustaz itu bercanggah dengan penjelasan Hukum Islam mengenai GST yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai pelaksanaan GST di Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jahara turut mendesak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyiasat syarahan ustaz berkenaan dalam kuliah Maghrib itu.

"Saya mohon pihak berkuasa Agama Islam Pulau Pinang memastikan masjid dan surau di negeri ini tidak digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan kekeliruan dan keraguan dalam kalangan orang Islam," katanya.




KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang,
 Datuk Jahara Hamid. - Foto Danial Saad

Hati-hati beli keli


  Berhati-hati beli ikan keli di pasaran, 

             elak dari sumber diragui




IKAN keli yang dijual di pasar. - Gambar hiasan
Orang ramai di Terengganu dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika membeli ikan keli di pasar negeri ini bagi mengelak mendapatkannya daripada sumber yang diragui halalnya.

Pengarah Perikanan Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim, berkata ketika ini terdapat banyak lambakan ikan keli dari pantai barat yang dijual di sini dengan harga yang murah tanpa diketahui sumber halal dan haramnya ikan itu.

"Biarlah kita tahu dari mana ikan-ikan itu, halal haramnya dan tahap kebersihannya.

 Ini kerana kita sedia maklum terdapat ikan keli yang dipasarkan bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tentang status halal haramnya ikan berkenaan," katanya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-73 yang bersidang pada April 2006 memutuskan bahawa ikan yang dipelihara di dalam kolam ternakan dan seupamanya adalah haram dimakan sekiranya ikan itu sengaja dipelihara dalam air najis seperti daging babi, bangkai atau sebagainya.

Abdul Khalil berkata kesan dari lambakan ikan keli itu menyebabkan penurunan harga ikan keli di pasaran negeri ini serta menjejaskan kehidupan penternak hidupan itu yang turut mengalami kerugian.

Sebelum ini, seorang pengusaha ikan keli terbesar di Terengganu, Zakaria Harun, yang memiliki sijil halal ternak keli, mendakwa banyak penternak ikan keli di negeri ini mengalami kerugian ekoran lambakan ikan itu yang dijual dengan harga serendah RM3 sekilogram. 




Tidak akan Mohon Maaf


Ismail Sabri tidak akan mohon maaf

 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau tidak akan memohon maaf berhubung kenyataannya berkaitan boikot peniaga yang menjadi viral di laman sosial. 

Katanya kenyataan berkenaan adalah berniat baik untuk kebaikan semua pengguna di negara ini.
 
"Mengenai perkara ini, kita perlu lihat daripada sudut (positif), jika lihat negatif, negatiflah jadinya," katanya ketika ditemui di Kelab Tasik Putrajaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai sama ada sudah dipanggil polis untuk memberi kenyataan berhubung perkara itu, katanya setakat ini polis masih belum memanggilnya untuk diambil keterangan. 

"Mereka belum panggil lagi," katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga dijangka memberi kenyataan mengenai perkara itu .

Seramai 92 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara hari ini tampil membuat kenyataan menyokong penuh tindakan Ismail Sabri. 

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata kenyataan Ismail wajar dilihat daripada sudut membawa faedah kepada rakyat pelbagai kaum.
 
 
 
 
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
 
 
 
 

Turunkan Tarif Letrik


Khairy mohon TNB timbang turun tarif elektrik

 




Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) menimbangkan untuk menurunkan tarif elektrik selaras dengan penurunan harga minyak pada masa ini.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian dalam status terkini yang dimuat naik dalam laman Facebooknya.

"Pada masa yang sama, mungkin TNB juga perlu pertimbangkan untuk menurunkan tarif elektrik. Sebab hari itu mereka minta Jemaah Menteri naikkan tarif sebab input kos bahan bakar naik.

 Sekarang dah turun," katanya.

Dalam status yang sama, Khairy berkata dalam keadaan harga minyak menurun, pengguna harus memainkan peranan dan menekan peniaga untuk menurunkan harga barang.


"Saya rasa mesej yang penting ialah kuasa pengguna.

 Use your power as consumers (Gunakan kuasa anda sebagai pengguna).

Engage with consumer groups and activists (Jalin kerjasama dengan kumpulan dan aktivis pengguna).

 Name and shame traders that charge exorbitant prices on social media (Siarkan nama dan malukan peniaga yang mengenakan harga tinggi di media sosial)," katanya.

Khairy berkata, beliau sudah mengarahkan Biro Kualiti Hidup Pemuda UMNO untuk menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan berkaitan kepenggunaan untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang kuasa mereka sebagai pengguna.

Katanya, Pemuda UMNO juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengenal pasti kedai-kedai yang menjual barang pada harga yang adil dan berpatutan.

"Kedai-kedai ini akan diiktiraf sebagai 'fair price shops' di bawah KPDNKK dan akan dipromosikan," katanya.

Permotoran - Puspakom


PUSPAKOM tawar pemeriksaan percuma sempena Tahun Baharu Cina

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan sukarela secara percuma dari 7 hingga 14 Februari kepada pemilik kenderaan persendirian di semua 55 cawangannya sempena Tahun Baharu Cina. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail, berkata pemeriksaan itu lebih tertumpu kepada aspek keselamatan kenderaan seperti kecekapan sistem brek, gelincir sisi, suspensi dan cengkaman tayar.

"Dengan menjalani pemeriksaan ini, pemilik kenderaan akan lebih dulu mengetahui tahap keselamatan kenderaan mereka sebelum memulakan perjalanan atau menghantarnya untuk penyenggaraan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkhidmatan itu bermula 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, mengikut waktu operasi setiap cawangan.

Orang ramai boleh membuat janji temu dengan menghubungi cawangan PUSPAKOM berdekatan atau menghubungi talian bebas tol 1800-88-6927 untuk maklumat lanjut.

Kempen sama tahun lalu menyaksikan kira-kira 4,000 kenderaan persendirian diperiksa.








Permotoran - Produa Servis Projek Tweckbot


Perodua tawar pemeriksaan kenderaan percuma

 Perodua menawarkan pemeriksaan 50 mata percuma di bawah projek Tweckbot kepada pemilik kereta Perodua untuk perjalanan pulang ke kampung halaman mereka semasa Tahun Baru Cina.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata pelanggan Perodua juga boleh menikmati 20 peratus diskaun ke atas alat ganti dan 10 peratus diskaun bonus untuk anggota Perodua Circle.

Katanya, pemeriksaan kenderaan percuma itu dibahagikan kepada dua peringkat dengan peringkat pertama mulai 6 hingga 8 Februari di lokasi terpilih di Negeri Sembilan. 

Peringkat kedua ialah selepas Tahun Baru Cina mulai 17 Februari hingga 1 Mac di lokasi terpilih di Pulau Pinang dan Lembah Klang.











2-1 ( Piala GT Radial )


Perlis juarai GT Radial Piala Emas Raja-Raja 2014

Perlis juarai GT Radial Piala Emas Raja-Raja 2014

JUARA Pasukan Perlis menjulang Piala Emas Raja-Raja 2014

 yang dimenangi selepas mengalahkan Pahang pada

perlawanan akhir.

TEMERLOH: Perlis menewaskan Pahang dengan jaringan 2-1 untuk mempertahankan kejuaraan GT Radial Piala Emas Raja-Raja 2014 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini.                                   
Di awal babak perlawanan, kedua-dua pasukan bermain seimbang dengan saling menyerang bagi mecari gol pendahuluan.

Pada minit ke-32, M. Fauzi Roslan berjaya memecah kebuntuan dengan meledakkan gol pertama Pahang selepas menyambut sepakan sudut yang diambil Azidan Sarudin.

Keputusan separuh masa pertama kekal dengan jaringan 1-0.      
 
Seawal separuh masa kedua, Pahang dilihat lebih agresif untuk menambah jaringan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu Perlis namun, berjaya ditangkis pertahanan pasukan pelawat.

Di minit ke-75, Perlis bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi pemainnya, Adrienjurad yang melepaskan satu tendang cantik membolosi pintu gol Pahang.

Momentum daripada jaringan itu, pasukan pelawat sekali lagi berjaya merobek gawang Pahang melalui pemainnya, Anas Shaharom  yang melepaskan rembatan kencang di minit terakhir perlawanan.

Keputusan 2-1 yang berpihak kepada Perlis itu kekal hingga tamat permainan.

Perlis membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 manakala Pahang selaku naib johan menerima RM20,000. 


UiTM ke Militan IS


Penuntut UiTM Arau didakwa beri sokongan kepada militan IS

Penuntut UiTM Arau didakwa beri sokongan kepada militan IS 
 
 
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130 (1)(a) Kanun 
 
Keseksaan dibaca bersama Kanun 511 kanun
 
yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J.
 
 - Gambar Fail 
 
 
 
 
ARAU: Seorang penuntut Kejuruteraan Marin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Negara Islam (IS).

Tertuduh, Wan Mohammad Arif Wan Rokman, 23, yang berasal dari Besut, Terengganu dituduh cuba memberi sokongan kepada IS dan berhasrat menjadi ahli kumpulan itu.

Lelaki itu ditahan pada 28 Disember itu kira-kira jam 10.15 malam di hadapan pintu C15 Balai Pelepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mengambil penerbangan Turkish Airlines ke Istanbul.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dan kes akan disebut semula pada 30 Mac ini untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharam dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu dengan pengetahuan mengambil penerbangan pesawat Turkish Airline dari KLIA ke Istanbul Turki untuk cuba memberi sokongan kepada IS dan dalam cubaan itu dia hendak memasuki Syria melalui Istanbul untuk manfaat kumpulan IS.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130 (1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Kanun 511 kanun yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J.

Sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak lebih dari 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang sudah digunakan atau diniatkan bagi melakukan kesalahan itu. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 






MAZA Dilantik Mufti semula


Dr Asri dilantik semula sebagai Mufti Perlis

 

Dr Asri menerima tawaran memegang jawatan itu buat kali
 kedua selepas mendapat perkenan Raja Perlis,
 Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.




KANGAR: Prof Madya Dr Mohamad Asri Zainul Abidin telah dilantik semula sebagai Mufti Perlis bagi menggantikan Dr Juanda Jaya yang tamat perkhidmatannya tahun lepas.

Mohd Asri, 44, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 Nov 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Juanda.

Selepas menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Mufti Perlis, beliau kembali menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau menerima tawaran memegang jawatan itu buat kali kedua selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Bercakap kepada pemberita selepas memulakan tugas di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata tawaran tersebut merupakan satu cabaran dalam kerjayanya untuk memastikan syiar agama Islam di negeri ini terus meningkat dengan berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya beliau akan melakukan banyak perancangan ke arah mencambahkan ilmu agama kepada rakyat negeri ini termasuk mengadakan kelas agama di masjid sebagaimana telah diamalkannya semasa menjadi mufti sebelum ini. 



Agama - Makan Ulat Sagu



Mufti larang makan ulat sagu 

Oleh MULLER ASEN

Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) - Datuk Kipli Yassin

Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) mengeluarkan fatwa bahawa memakan ulat sagu atau ulat mulong adalah haram dan dilarang dalam kalangan umat Islam di negeri ini.



Mufti negeri, Datuk Kipli Yassin berkata, masyarakat Islam di Sarawak perlu mengetahui keputusan fatwa itu dan tidak lagi terkeliru pada masa hadapan.

Menurutnya, umat Islam juga tidak dibenarkan menjalankan upacara ‘mi­ring’ atau mengikut ritual semasa Pesta Kaul kerana ia didapati melibatkan kepercayaan yang bertentangan de­ngan ajaran Islam dan hukum syarak.

“Maksudnya di sini, orang bukan Islam tetap boleh memakan ulat sagu dan meneruskan upacara tersebut tetapi orang Islam tidak sepatutnya melibatkan diri,” katanya dalam satu kenya­taan di sini.

Mengulas lanjut, Kipli memberitahu, keputusan fatwa yang melarang umat Islam memakan ulat sagu sebenarnya sudah lama diputuskan.

Katanya, dalam hukum fikah, semua jenis ulat tidak boleh dimakan kerana ia dianggap sebagai suatu yang jijik dalam Islam.

“Namun, ingin saya tegaskan bahawa kita bukan menghalang masyarakat bukan Islam memakannya.

Kita tidak akan ganggu budaya mereka.

“Kita ada hukum agama masing-masing dan itu yang perlu diambil perhatian serius,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, berbeza dengan ulat kejumah iaitu ulat yang hidup di dalam pokok bakau kerana ia boleh dimakan.

Katanya, masih ramai masyarakat tidak tahu keputusan fatwa membenarkan kejumah dimakan oleh orang Islam kerana ia bukan hidupan dua alam.

“Salah satu syarat makanan haram ialah umat Islam dilarang makan binatang dua alam dan ia tiada najis dan sebagainya. Hukumnya ‘harus’ dimakan,” katanya.


Ulat sagu mendapat permintaan tinggi dan dijual pada harga 50 sen seekor di Sarawak.







    

Bukan Rasis


Ismail Sabri bukan rasis



Dr Suleiman Mohamad 
 
 Majlis Pemikir Muda (Pemikir) mempertahankan sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Pertanian Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri yang menyelar golongan pemborong dan peniaga   tamak dengan tidak menurunkan pelbagai harga keperluan dan barangan walaupun kadar harga petrol  sudah turun.

Pengerusinya,  Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed mendakwa, selama ini kuasa pemborong dan peniaga berada dalam tangan bangsa Cina dan apa yang dibuat oleh Ismail Sabri sangat tepat memandangkan  beliau tujukan perkara itu terus kepada pihak bertanggungjawab.

Katanya, isu pedagang dan pembekal  barang keperluan yang memang kebanyakannya  dimonopoli  kaum Cina mesti diselesaikan dengan tegas dan cepat kerana rakyat tidak mendapat manfaat daripada penurunan harga barangan serta keperluan.

“Dalam hal ini tidak ada unsur perkauman.

 Ini adalah isu pedagang dan pembekal. 

Dan memang kebanyakannya adalah bangsa Cina.

Adakah usaha mendesak  pembekal Cina menurunkan  harga barangan mereka itu dianggap perkauman?

“Ini usaha yang memang perlu dibuat oleh seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat dan pengguna melebihi kepentingan peribadi.

 Ismail Sabri pastinya tahu risiko yang bakal diambil tetapi beliau lakukan itu demi kepentingan semua rakyat.

“Jika pemborong atau peniaga ini akur untuk menurunkan harga barangan mereka, pastinya semua pengguna termasuk yang berbangsa Cina , India dan lain-lain kaum akan menikmati kebaikannya, “ katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan membuat kenyataan berkaitan boikot peniaga Cina yang menjadi viral di laman sosial.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat sebenarnya bertujuan meminta rakyat menggunakan kuasa dan hak mereka sebagai pengguna bagi menekan peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan.

ARTIKEL BERKAITAN: [ Ismail Sabri perjelas isu boikot peniaga]

Sementara itu, Dr Suleiman menambah, Pemikir Muda tetap berdiri teguh di belakang Ismail Sabri dalam hal ini.

Tindakannya bukan membuta tuli.

 Dia berani menyatakan kebenaran.

“Ini kerana usaha dan  teguran keras yang beliau lakukan adalah untuk manfaat semua rakyat, tidak mengira bangsa, agama dan kedudukan,” katanya lagi.






Senator Chong Sin Woon


Kenapa Ketua Pemuda MCA bersama DAP

[DIKEMASKINI] Barisan Ketua-ketua Umno hari ini menuntut penjelasan berhubung tindakan Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon yang dikatakan menyuarakan penentangan terhadap Menteri Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri.




Senator Chong Sin Woon - Ketua Pemuda MCA
  
Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzil berkata, tindakan Sin Woon yang bekerjasama dengan DAP menentang kenyataan Ismail yang dikeluarkan baru-baru ini amat keterlaluan.

"Tindakan dia yang bersekongkol dengan DAP  menyelar kenyataan Datuk Ismail adalah satu tindakan yang dilihat amat keterlaluan.

"Kami mahu Presiden MCA mengambil tindakan tegas ke atas dia berhubung tindakannya itu.

Kerjasama itu tidak dapat diterima kerana DAP terbukti sebuah parti yang cauvanis dan selalu menimbulkan isu perkauman," katanya dalam sebuah sidang media yang dihadiri lebih 60 ketua Umno bahagian di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri perjelas isu boikot peniaga]

Musa dalam sidang media tengahari ini menambah, Sin Woon juga tidak mempunyai hak untuk meminta Ismail diundurkan dari jawatan menteri.

"Dia perlu jawab kenapa dia sanggup duduk semeja bersama DAP dan sanggup minta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memecat Datuk Ismail Sabri dari jawatan menteri.

"Kami sentiasa beri sokongan penuh terhadap kedudukan Ismail Sabri sebagai menteri.

 Apa yang dilakukannya adalah untuk memperjuangkan nasib semua kaum dan seluruh rakyat, bukan hanya untuk kaum Melayu sahaja!" tegasnya.





Zahidi Zainul Abidin


MCA cuba raih simpati politik



Zahidi Zainul Abidin - Ahli Parlimen Padang Besar
“Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ismail Sabri Yaakob adalah untuk memberi kesedaran terutama kepada pengguna , tiada kaitan pun dengan isu perkauman sebaliknya ia isu negara! demi pengguna,” demikian reaksi Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berhubung kenyataan Ismail Sabri  terhadap perniaga berbangsa Cina baru-baru ini.

Kata Zahidi, beliau juga hairan dengan  tindakan MCA yang seolah-olah mahu menjadi juara padahal MCA sendiri gagal untuk  menangani isu ini.

“ Dalam isu ini kita bincang isu pengguna…tidak beri kelebihan kepada mereka (MCA), patut buat kerja lain lagi.

“. .. Sepatutnya MCA  beri penerangan kepada kaum cina, terangkan mengenai isu ini.

“Ini tidak, mereka ‘menari’ ikut rentak DAP, cuba ambil kesempatan untuk raih simpati pulak,” katanya kepada Sinar Online.

Mengulas lanjut Zahidi berkata, oleh itu beliau menyokong penuh kenyataan Ismail tersebut.

“Bagi kita sebagai rakan ahli parlimen kita memberi sokongan penuh kepada kenyataan Datuk Ismail Sabri tersebut,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dikecam teruk, termasuk dari rakan komponen sendiri, iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon apabila mengecam peniaga Cina yang tidak menurunkan harga barangan.

Ismail Sabri sebelum ini telahpun menjelaskan bahawa kenyataannya itu bukan ditujukan kepada peniaga kaum Cina sahaja tetapi kepada semua pemborong dan peniaga yang masih tidak mahu menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan.

Pada Isnin, Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon secara terang menyatakan mahu berganding dengan DAP menyerang Ismail.

Dalam kenyataannya, Sin Woon dilaporkan membidas Ismail dengan berkata: 'untuk memboikot perniagaan Cina adalah kenyataan kurang bijak dan menegaskan bahawa Ismail hanya membuat kenyataan peribadi, bukan pendirian Kabinet mahupun BN.






Isu Semasa - Nasihat Tun Mahathir


Tun M nasihat Ismail Sabri berhati-hati



Tun Dr Mahathir Mohamad
 
 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju cara boikot digunakan untuk menurunkan harga barang.

Menurutnya, boikot adalah penyelesaian negatif dalam menyelesaikan masalah harga barang yang mahal.

Sebaliknya, beliau berkata, punca berlaku kenaikan harga barang perlu dicari.

Katanya, harga barang masih tidak diturunkan walaupun harga minyak turun kerana kos perniagaan melibatkan bahan api itu hanya 10 peratus daripada kos keseluruhan.

Pengangkutan adalah satu elemen dalam sesuatu perniagaan.

 Peratusnya bukan terlalu tinggi, mungkin hanya 10 peratus sahaja.

 Kalau harga minyak turun yang melibatkan 10 peratus penurunan, ia adalah jumlah kecil,” ujarnya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memboikot peniaga Cina yang majoritinya memegang sumber bekalan dalam pasaran.

Ini bukan soal Cina (atau) Melayu, ini soal barang.

 Barang yang harga naik itu bukan sahaja dijual oleh Cina.

 Barang yang dijual Melayu juga ada yang tidak turun harga,” kata beliau.

Dr Mahathir turut menasihati seseorang menteri supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

“Agaknya dia (Ismail Sabri) tidak terfikir apa yang dia kata, kita mesti berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan rakyat Malaysia sendiri yang dikatakan mensabotaj ekonomi negara, beliau menyarankan supaya kerajaan melakukan siasatan.
 
“Jatuhnya nilai mata wang adalah akibat penjualan mata wang itu secara mendadak dan kerap. 
 
Baru jatuh mata wang. Kita kena kenal pasti betulkah dia (Pengerusi Eksekutif Kumpulan The Edge Media, Datuk Tong Kooi Ong) jual mata wang.
 
“Jadi kita buat kajian betulkah dia ada hubungan baik dengan (jutawan pelaburan, George) Soros?,” katanya.
 
Kooi Ong sebelum ini didakwa cuba menjatuhkan nilai ringgit melalui kaedah short-selling namun beliau telah menafikan tuduhan itu.
 
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau mengesyaki Kooi Ong didakwa mensabotaj ekonomi negara kerana akhbar milik syarikatnya banyak melaporkan isu masalah dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
“Apabila dia (Kooi Ong) buat kritikan pasal 1MDB, dia kena tuduh sebabkan jatuh mata wang.
 
“Buat kajian betul atau tidak, dia ini (Kooi Ong) mempunyai akhbar (perniagaan berbahasa Inggeris) yang banyak sentuh pasal 1MDB, jadi balasannya dialah yang jatuhkan nilai mata wang.
 
 Kalau dia tidak tegur 1MDB, kalau jatuh mata wang pun tidak apa,” katanya.
 
 
 
 
 

Semasa - Bangkai Monyet dalam QZ8501


QZ8501: Misteri bangkai monyet dalam pesawat
 
PETUGAS di Unit forensik (DVI) polis Jawa Timur, Indonesia terkejut sebaik mendapati mayat nahas pesawat QZ8501 yang disangka manusia adalah seekor monyet.

Memetik laporan dari Kompas, Ketua pasukan DVI Jawa Timur, Komisaris Besar Budiyono berkata, penemuan tersebut disahkan menerusi ujian DNA yang dilakukan ke atas mayat itu.

“Jenazah dilabelkan B077 yang tiba di Hospital Bhayangkara Polis Daerah Jawa Timur ternyata bukan manusia tetapi sejenis primat.

 Ia mungkin dari spesis monyet,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan portal tersebut.

Menurut Budiyono, ciri-ciri fizikal haiwan itu juga berbeza dengan ciri-ciri fizikal seorang manusia.

“Kulit bahagian belakangnya sangat tebal, keras dan kasar.

 Ia bukan menunjukkan ciri-ciri fizikal manusia,” katanya lagi.

Siasatan awal itu diperkuat dengan ketinggian tubuh bangkai itu yang hanya sepanjang 30-35 sentimeter.







Kuips - Modal Insan


Kuips mampu capai matlamat lahir modal insan


Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
 
ARAU - Penubuhan Kolej Universiti Islam Perlis (Kuips) di bawah naungan Majlis Agama Islam Perlis (Maips) mampu memenuhi tanggungjawab dan matlamat pendidikan Islam di negeri ini, termasuk pembentukan modal insan dalam bidang profesional berteraskan Islam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Kuips juga berupaya melahirkan tekno-daie (pendakwah yang mempunyai kemahiran teknologi) untuk membimbing ummah ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat serta membentuk golongan korporat Islam berteraskan syariat dan muamalat.
  
"Graduan Kuips turut dibentuk untuk membuat penyelidikan merangkumi ilmu agama bagi membawa kemajuan ummah Islamiah melalui teknologi semasa," titah baginda ketika menutup 'Minggu Mesra Siswa Kuips Sidang 2015-2016' di Dewan Serbaguna Kolej Kediaman Putra Height, Guar Nangka.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Rektor Kuips Dr Mohd Mizan Mohd Aslam dan Anggota Lembaga Pengarah serta pegawai kanan Kuips.
  
Kuips yang menerima kemasukan sulung pelajar lapan bulan lepas, kini mempunyai 159 pelajar iaitu 89 peringkat Asasi Muamalat, 55 Diploma Perbankan Islam dan 15 Sarjana Perbankan dan Kewangan Islam.
   
Beberapa jurusan akan ditambah mulai April ini, termasuk Asasi Pengajian Islam, Diploma Syariah, Diploma Usuluddin, Diploma Pengajian Islam, Diploma Pengurusan Harta Islam dan Sarjana Muda Pengajian Islam, titah Tuanku Syed Faizuddin.
 
Baginda yang juga Yang DiPertua Maips menyarankan pihak yang mempunyai kepentingan supaya terlibat membantu Kuips mengembangkan kurikulum, memantapkan kemahiran insaniah, keusahawanan, penajaan dan penempatan industri pelajar.

Sempena majlis itu, berlangsung majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Kuips dan Yayasan Angkasa ke arah meningkatkan kerjasama bijak pembangunan akademik, penyelidikan serta perkongsian ilmu, tenaga pakar dan teknologi.
 
Kerjasama tersebut juga memberi peluang kepada graduan yang memenuhi syarat untuk ditawarkan biasiswa pada pengambilan Julai dan September ini.
  
Bersempena majlis itu diadakan program berbasikal petang ini, manakala pada sebelah malam, Mufti Perlis yang baharu Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyampaikan ceramah 'Kesenian dan Kebudayaan Menurut Perspektif Islam', yang mana baginda berkenan hadir.




Projek Tangani Banjir


Perlis laksana projek tangani banjir
               Empangan Timah Tasoh
 
KANGAR - Kerajaan negeri akan membina laluan air dalam parit di sepanjang jalan raya di Perlis bagi menangani masalah banjir.
   

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, perbincangan akan dibuat dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya bagi melaksanakan projek tersebut sama ada secara mendalamkan atau melebarkan parit di samping membersihkan halangan laluan air daripada sampah sarap.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan Projek Lencongan Barat bernilai RM500 juta bagi mengalirkan limpahan air dari kawasan kediaman penduduk atau kawasan pertanian semasa musim hujan ke dalam Empangan Timah Tasoh di Beseri.

Projek itu dijangka siap pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan, katanya kepada pemberita pada majlis perhimpunan bulan kakitangan perkhidmatan awam di sini hari ini.



          Projek Lencongan Barat bernilai RM500 juta 









Tambah Pusat Belian Padi


Enam pusat belian padi ditambah

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) akan menambah enam lagi pusat belian padi di Kedah dan Perlis dalam usaha mempercepatkan proses penjualan padi pada masa akan datang.

Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, setakat ini lima pusat belian telah diwujudkan, manakala enam lagi dalam proses pembinaan dan dijangka siap hujung tahun ini.
  
"Mada bekerjasama dengan Bernas menerusi pusat belian ini dalam meringankan dan mempercepatkan proses jualan supaya tidak timbul masalah lebihan padi," katanya .
    
Jelasnya pusat belian yang antaranya akan dibina di Kerpan, Pendang di Kedah dan Arau serta Simpang Empat di Perlis menyasar untuk menampung kapasiti belian sehingga 4,000 tan semusim bagi setiap pusat belian.
  
"Misalnya dalam 50,000 tan, 10 peratus daripadanya boleh ditampung pusat-pusat belian, jadi ini boleh membantu mempercepat proses membeli," katanya.
  
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengarahkan Bernas (Padiberas Nasional Berhad) agar membeli semua lambakan padi yang berlaku di Perlis yang dikesan awal minggu lalu serta-merta bagi mengelak petani daripada mengalami kerugian.
  
Othman berkata, masalah dihadapi pengilang dan petani terutama di Perlis bukan disebabkan masalah lambakan padi tetapi lebih kepada istilah 'lebihan  padi'.

"Terdapat lebihan berbanding kemampuan kilang boleh terima. Contohnya kalau kilang boleh beli 200 tan sehari, ia akan beli 200 tan saja.

 Kilang swasta pula biasanya akan beli ikut kapasiti pengeringan padi yang ia mampu," katanya.
 
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, pertembungan jadual penanaman padi bagi fasa dua dan tiga tahun lalu, menyebabkan tempoh tuaian padi serentak, sekali gus mendorong peningkatan hasil tuaian berlebihan berbanding biasa.
  
Beliau turut menegaskan tidak wujud isu kilang menolak untuk membeli padi, sebaliknya ia tertakluk kepada had kapasiti pembeliannya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan supaya petani mengikuti jadual penanaman padi yang telah ditetapkan Mada bagi mengelak pertembungan padi masak serentak di empat wilayah Muda.
  
"Untuk pengilang pula, semua pengilang mesti pastikan kilang mereka berada dalam keadaan yang boleh membeli dan memproses padi," katanya.





Perlis - Lambakan Padi


Wujudkan mekanisme atasi lambakan padi, beras



Azlan Man
KANGAR - Kerajaan pusat perlu mewujudkan satu mekanisme khas bagi mengatasi masalah lambakan padi dan beras yang berlaku pada setiap musim penuaian padi, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
  
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) 2015 peringkat negeri di Dewan 2020 di sini hari ini, beliau turut mencadangkan supaya stok penyimpanan padi diwujudkan agar tidak semua padi perlu diproses selepas dituai.
   
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung lambakan padi dan beras di Pusat Belian Padi di negeri ini.
  
Pengilang-pengilang swasta yang dilantik oleh syarikat PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) dilaporkan tidak dapat membeli padi para petani kerana kilang mereka dipenuhi guni-guni berisi beras yang tidak diambil Bernas.
  
Azlan berkata beliau dimaklumkan oleh pengilang-pengilang swasta terdapat beras yang tidak ambil oleh Bernas melebihi dua tahun dan tersimpan sehingga sekarang.
   

"Adalah wajar kerajaan melaksanakan satu mekanisme khas bagi mengatasi masalah tersebut supaya ia tidak berulang," kata Azlan.
  
Katanya beliau akan meminta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ahmad Bakri Ali memanjangkan cadangan itu kepada kerajaan pusat untuk dipertimbangkan.
  
Mengenai BRIM hari ini, Menteri Besar itu berkata lebih 53,000 penduduk Perlis layak menerima bantuan itu termasuk 38,000 permohonan yang masih diproses oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
  
Hari ini, 2,552 penerima yang tidak mempunyai akaun simpanan bank mendapat bantuan itu secara tunai dengan setiap seorang menerima antara RM200 dan RM350 mengikut kategori.





Sahsiah Diri


Terapkan semangat pembentukan sahsiah diri





KANGAR - Golongan muda diminta agar sentiasa berusaha menerap semangat membangunkan minda, fizikal, menyayangi keluarga dan masyarakat, kesukarelawanan serta kenegaraan bagi membentuk sahsiah diri yang kental dan mantap.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ciri-ciri tersebut akan meletakkan mereka pada landasan betul dan bersedia menjadi generasi muda yang sempurna, bertanggungjawab serta dapat menyumbang dengan produktif kepada pembangunan negara.

Titah baginda generasi muda yang bertanggungjawab akan berusaha meningkatkan sokongan terhadap kerajaan dalam memajukan negeri dan negara.

"Ini bermakna golongan muda perlu meletakkan diri mereka dalam arus yang betul supaya penglibatan mereka dalam proses dan aspek pembangunan berjalan seiring," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah melancarkan program Gotong-royong dan Kayuhan Diraja 2015 BTN bertemakan 'Kasih Rakyat Menjunjung Duli' di Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen.   

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Perlis, Jazli Fadzil.

Program anjuran kerajaan negeri itu mendapat kerjasama BTN Perlis dengan sokongan MAYC Perlis, Majlis Perbandaran Kangar dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Sebelum kayuhan yang disertai 300 peserta bermula, baginda berdua serta para peserta menceriakan taman itu dengan menanam 300 pokok bunga kertas. 

Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan melancarkan program BTN Perlis Sahabat Anak Muda sebelum memulakan kayuhan sejauh 14 kilometer itu.

Dalam kayuhan itu baginda dan peserta singgah di beberapa tempat termasuk di tiga rumah asnaf terpilih untuk menyampaikan sumbangan.




Semasa - Burger Gunung Berapi



Burger aroma 'gunung berapi'



Redzaudin dan abangnya sedang membakar daging untuk menyediakan burger.

JIKA melalui pekan kecil Serdang aroma Burger Bakar Letup pasti menggamit sesiapa sahaja untuk mencuba menikmati juadah itu.

Perniagaan diusahakan dua beradik, Rohizam Nayan, 32 dan Redzaudin, 28, telah menggunakan resipi tersendiri dalam proses pembuatan daging burger bakar melalui beberapa percubaan dan kajian.

Lebih istimewa, lava rock atau batuan gunung berapi turut digunakan dalam penyediaan hidangan ini sebagai penambah aroma dan rasa.

Menurut Redzaudin, daging digunakan adalah berkualiti tinggi supaya rasanya lebih segar dan enak selain rotinya juga lembut berbanding burger bakar lain.

“Daging dikisar sendiri dan diadun dengan ramuan khas untuk membuat bebola daging dan kemudian ia dibakar menggunakan beberapa bahan lain.

“Bagi penggemar burger tidak lengkap jika mereka tidak cuba menikmati juadah tersebut yang rasanya berlainan daripada burger lain sama ada set kecil, besar atau jumbo.

“Pelanggan juga boleh menikmati pelbagai menu lain, seperti benjo, burger ayam bakar dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, bebola daging itu ditekan supaya membentuk kepingan daging kisar yang juga dibakar menggunakan lava rock atau batuan gunung berapi sebagai penambah aroma dan rasa.

Katanya, berbekalkan pengalaman setelah beberapa tahun berkhidmat dalam perusahaan makanan segera di ibu negara, mula timbul perasaan untuk mencuba perniagaan burger.

“Saya sudah lama bekerja dengan restoran makanan segera berasaskan makanan barat sekali gus mendorong saya untuk mengusahakan perniagaan sendiri,” katanya.

Malah, Redzaudin berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat.

Harga ditawarkan dari serendah RM5.80 sehingga RM12.80 dan pelanggan boleh merasa keenakan burger bakar dengan resipi tersendiri di Burger Bakar Letup, di sini.
 
 
 
 
 
 
 

Peniaga dikompaun


Empat peniaga di Perlis dikompaun
 
 
 
KANGAR - Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis mengenakan kompaun ke atas empat peniaga kerana tidak meletak tanda harga.
 
Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perlis, Ku Hasmah Ku Bahari berkata, tindakan itu dikenakan semasa Ops Catut sejak 16 Jan di sekitar pekan Simpang Empat dan Kuala Perlis melibatkan peniaga ikan, sayur dan pakaian.
 
Beliau berkata, KPDNKK kemudian memulang semula barangan peniaga apabila setiap mereka membayar kompaun antara RM100 hingga RM300.
 
Dalam operasi hari ini sahaja, lebih 30 premis di Tok Arau diperiksa, katanya dan menambah sebuah premis dikenakan kompaun kerana menawarkan jualan harga murah tanpa kebenaran yang kesalahnnya tidak membabitkan Ops Catut.
 
Ku Hasmah mengingatkan peniaga yang hendak menjalankan perniagaan tawaran murah menjelang Tahun Baru Cina supaya mendapat kebenaran daripada KPDNKK dan kegagalan berbuat demikian boleh didenda antara RM100,000 hingga RM250,000.





Anak Teruna.....sluuupppp


Tarikan rojak anak teruna



Sudin menunjukkan kain rentang rojak yang diusahakannya.
KANGAR - Seorang penjual rojak mampu meraih pendapatan hampir RM100 setiap hari kerana digemari penduduk di sekitar bandar Kangar.

Sudin Abdul, 64, yang berasal dari Rancangan Perumahan Awam Beseri dekat sini, berkata, dia menjual rojak yang dikenali sebagai Rojak Anak Teruna sejak 40 tahun lalu dengan resipinya yang tersendiri.

Katanya, nama rojak itu diberikan kerana statusnya yang tidak pernah berkahwin dan hanya menanggung hidupnya dengan menjual rojak.

“Rojak saya tidak pernah kekurangan pelanggan malah jika ada pelanggan yang mahu mendapatkan resipi, saya pasti akan kongsi.

“Saya pernah kongsi dengan penggemar rojak dari seluruh semenanjung termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya yang berniaga di Dataran Dato Sheikh Ahmad di sini.

Sudin berkata, dia bersyukur kerana diberikan peluang oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk berniaga di dataran terbabit yang menjadi tumpuan penganjur untuk mengadakan pelbagai program.

Menurutnya, secara tidak langsung pelanggan akan datang ke gerainya untuk membeli rojak.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Kecurian di Seng Heng kangaq


Polis buru suspek curi telefon bimbit


Anggota polis menjalankan siasatan di sebuah kedai elektrik di Kangar.

KANGAR - Polis kini memburu dua lelaki yang disyaki memecah masuk dan mencuri pelbagai jenis telefon bimbit dianggarkan bernilai RM40,000 di kedai elektrik Seng Heng di sini.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kedua-dua  suspek itu telah dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam bangunan tersebut.

Katanya, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pada jam 4.25 pagi memaklumkan ada individu telah pecah masuk ke kedai berkenaan.

Anggota MPV yang sampai ke tempat kejadian mendapati kedai itu sudah dipecahkan dan hasil siasatan mendapati pintu depan jenis besi dan gril telah diumpil manakala mangganya dipotong.

“Sebanyak 36 telefon bimbit termasuk jenama Apple dan Samsung bernilai kira-kira RM40,000 telah dilarikan suspek,” katanya.

Abdul Rahman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat telefon yang hendak dijual dengan murah melaporkannya kepada polis bagi membantu pihaknya menjalankan siasatan.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis.