• Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali (kanan) menunjukkan tong dram yang digunakan untuk menyimpan petrol.
PADANG BESAR - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar menahan tiga lelaki tempatan dan merampas 2,180 liter petrol dalam serbuan di tiga stor minyak haram, di sini.

Ketua Pengarah UPP Datuk Ab Rahim Ismail bertindak atas maklumat, ketiga-tiga lelaki berusia 56 tahun itu ditahan semasa serbuan serentak di stor masing-masing.

Katanya, dua stor haram tersebut terletak di Kampung Melayu dan sebuah lagi di jalan Sekolah Cina, di sini.

“Selain merampas 2,180 liter petrol di tiga stor haram tersebut, UPP turut merampas 20 tong dram dan tiga unit pam penyedut elektrik dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7,078.

“Tauke minyak haram ini dipercayai membeli petrol subsidi yang kemudiannya dikumpulkan dalam stor di belakang rumah mereka, petrol yang dikumpulkan kemudiannya disyaki akan dijual kepada penyeludup minyak dari negara jiran,” katanya di Kem UPP Padang Besar.

Menurut beliau, harga petrol yang murah di negara ini menyebabkan ia mendapat permintaan tinggi dari negara jiran.

Ketiga-tiga lelaki itu akan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis untuk tindakan lanjut.