• Azlan melawat tapak pelupusan sampah yang terbakar malam semalam 
ARAU- Kira-kira 500 penduduk di sekitar Pauh dekat sini terjejas dengan asap sampah yang busuk apabila Pusat Pelupusan Sampah Padang Siding Pauh terbakar sejak dua hari lalu.

Kebakaran turut menjejaskan pelajar di tiga sekolah terdekat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Badariah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh.

Menurut Pengarah Pelajaran Negeri Dun Kasa ketiga-tiga sekolah tersebut tidak ditutup namun bagi pelajar yang mengadu pening, batuk, sakit kepala, asma, mereka dibenarkan pulang ke rumah.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar telah mengedarkan topeng muka kepada pelajar namun bagi yang mengadu sesak nafas, mereka akan dibenarkan pulang.




“Kira-kira 30 murid SK Pauh dibenarkan pulang hari ini (semalam) manakala dua murid lagi dari SJKC Sin Min, proses pembelajaran dan pengajaran diteruskan seperti biasa,” katanya ketika melawat sekolah tersebut, di sini semalam.

Menteri Besar Azlan Man berkata biarpun api dapat dikawal malam semalam oleh pihak bomba namun itu hanya pada permukaan sampah.

Kata beliau timbunan sampah yang sangat dalam itu menyukarkan bomba memadam kebakaran yang dipercayai telah merebak di bahagian itu.





“Sampah itu ditimbus hampir 50 kaki, justeru pihak bomba memerlukan beberapa hari lagi bagi memastikan api itu dapat dikawal sepenuhnya.

“Saya difahamkan oleh pegawai bomba, usaha memadam kebakaran itu telah dilakukan sejak dua hari lepas namun api kembali marak kerana faktor timbunan sampah yang terlalu dalam serta keadaan cuaca yang terlalu kering dan panas,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (Dun) semalam.

Azlan berkata bagi mengatasi masalah itu dalam jangka masa panjang, kerajaan telah menyediakan tempat untuk dijadikan tapak pelupusan sampah baru di Rimba Emas, Titi Tinggi, Padang Besar.

Katanya tapak baru itu menggunakan teknologi tinggi seperti di Jepun dan Jerman supaya sampah-sampah dapat dikitar semula dan tidak menjejaskan penduduk setempat.

“Projek kerajaan persekutuan itu telah diluluskan namun kerajaan negeri masih lagi dalam proses untuk memberi pemahaman kepada penduduk sekitar sebelum ia dibangunkan.

“Untuk jangka masa pendek mungkin kita akan bina pengadang  kira-kira 20 meter dari penempatan penduduk supaya api tidak merebak selepas ini selain ia tidak lagi dibuka kepada orang ramai yang mencari barang-barang terbuang,” jelas beliau.