Jumaat, 28 Februari 2014

Ditikam


Ditikam ketika berbasikal ke masjid
 
 
KANGAR - Seorang kanak-kanak lelaki cedera di bahu kanan selepas dipercayai ditikam oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kangar berkata, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa menunggang basikal seorang diri dari rumahnya di Kampung Bunga Mas, Simpang Empat, dekat sini, ke masjid berhampiran.

Katanya, apabila sampai di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi, mangsa diserang oleh suspek dan menikam bahu kanan mangsa.

“Pihak polis yang menerima laporan kejadian terus ke lokasi dan berjaya memberkas lelaki terbabit serta merampas sebilah pisau yang digunakan untuk menikam mangsa.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 35 tahun merupakan anak kepada tuan rumah yang disewa oleh keluarga mangsa dan polis tidak menolak mangsa berkemungkinan mengalami masalah mental,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Abdul Rahman, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan.

"Mangsa dibenarkan pulang selepas menerima tiga jahitan di bahagian bahu kanan," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman empat hari bermula semalam (Sabtu) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.







Lewat jangan liwat


Remaja liwat rakan perempuan
PADANG BESAR - Seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes meliwat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun beberapa kali sejak akhir tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata, perintah tahanan itu bermula kelmarin (Jumaat) dikeluarkan Mahkamah Majistret di Kangar.

Dalam kejadian terakhir berlaku pada awal Februari lalu, suspek yang dipercayai teman lelaki mangsa telah membawanya ke sebuah rumah kosong di Kampung Lembah Biak, di sini sebelum meliwat mangsa dan merakam aksi berkenaan menggunakan telefon bimbitnya.

Difahamkan remaja berkenaan juga menjadikan rakaman berkenaan sebagai ugutan bagi mengulangi perbuatan terkutuk itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat.





 Binatang tidak liwat.........hhhhrmmmmmm









Tembok Elektrik atau Konkrit 32km


Ganti tembok atau pagar elektrik di sempadan

  • Ab Rahim (duduk, lima kanan) dalam lawatan ke pos-pos UPP Padang Besar, semalam.
PADANG BESAR - Spesifikasi pagar baru bagi menggantikan pagar di sempadan Kedah-Perlis yang telah uzur sedang ditentukan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Pengarah Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Datuk Ab Rahim Ismail  berkata, kementerian kini sedang mengkaji samada pagar baru sepanjang 32 kilometer di sempadan utara tanah air itu perlu diganti dengan tembok konkrit ataupun pagar elektrik.

Katanya, untuk mengganti pagar baru dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Padang Besar, Perlis itu, kerajaan terlebih dahulu perlu memaklumkannya  kepada kerajaan Thailand kerana ia melibatkan perhubungan dua hala.

“Pagar yang sudah uzur di sempadan sememangnya perlu ditukar, perkara ini telah dibawa ke pihak kementerian dan mereka sedang menentukan pagar yang sesuai serta bermutu tinggi supaya keselamatan di sempadan lebih terjamin,” katanya kepada pemberita selepas melawat pos-pos UPP di Padang Besar, di sini, semalam.

Sebelum ini, kerajaan negeri Perlis memohon supaya kerajaan pusat menggantikan pagar sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dengan tembok baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan negara dan membanteras aktiviti penyeludupan.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man berkata, keadaan pagar sepanjang 32 kilometer dari Padang Besar, di sini sehingga Bukit Kayu Hitam, Kedah yang dibina sejak tahun 1979 terlalu usang selain sering mengalami kerosakan.

Sementara itu, mesin pengimbas bergerak turut dijangka akan dipasang di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar hujung tahun ini.

Ab Rahim berkata, KDN sedang mengkaji untuk mendapatkan mesin yang terkini dan terbaik bagi melancarkan tugas anggota keselamatan dan UPP.






Stor Minyak Haram


UPP tahan tiga lelaki miliki stor minyak haram


  • Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali (kanan) menunjukkan tong dram yang digunakan untuk menyimpan petrol.
PADANG BESAR - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar menahan tiga lelaki tempatan dan merampas 2,180 liter petrol dalam serbuan di tiga stor minyak haram, di sini.

Ketua Pengarah UPP Datuk Ab Rahim Ismail bertindak atas maklumat, ketiga-tiga lelaki berusia 56 tahun itu ditahan semasa serbuan serentak di stor masing-masing.

Katanya, dua stor haram tersebut terletak di Kampung Melayu dan sebuah lagi di jalan Sekolah Cina, di sini.

“Selain merampas 2,180 liter petrol di tiga stor haram tersebut, UPP turut merampas 20 tong dram dan tiga unit pam penyedut elektrik dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7,078.

“Tauke minyak haram ini dipercayai membeli petrol subsidi yang kemudiannya dikumpulkan dalam stor di belakang rumah mereka, petrol yang dikumpulkan kemudiannya disyaki akan dijual kepada penyeludup minyak dari negara jiran,” katanya di Kem UPP Padang Besar.

Menurut beliau, harga petrol yang murah di negara ini menyebabkan ia mendapat permintaan tinggi dari negara jiran.

Ketiga-tiga lelaki itu akan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis untuk tindakan lanjut.






Sakit Misteri


Pemuda derita sakit misteri



  • Khairul Anuar melihat keadaan Surazmi yang terlantar. 
PADANG BESAR - Seorang pemuda terlantar di atas katil sejak tiga tahun lalu akibat menderita penyakit misteri yang melenyapkan seluruh keupayaannya.

Surazmi Kashin, 32, berkeadaan demikian apabila dia mengadu sakit kepala pada 22 Disember 2011 sebelum tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh ibunya untuk bangun tidur pada waktu pagi.

Dia yang dulunya ceria dan lasak terbaring di rumahnya di Kampung Guar Medan Gatal, Chuping dekat sini dan kini sekadar mampu mengerdipkan mata.

Ibunya, Zainab Mat Aris, 55, pula masih menaruh harapan sekurang-kurangnya dia mampu bersuara menyatakan apa yang dirasa.

Anak ketiga daripada empat beradik itu sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital, namun selepas beberapa hari dia akan dibenarkan pulang dan tidak mempunyai sebarang penyakit.

“Keluarga saya tidak mempunyai pendapatan tetap, suami saya tidak mampu bekerja kerana penyakit usus, kini kami hanya mengharapkan duit dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan untuk membeli lampin pakai buang dan susu Surazmi.

“Dua lagi kakaknya merupakan ibu tunggal manakala adiknya yang bongsu hanya bekerja sebagai buruh,” katanya.

Jelas Zainab, pendapatan adik beradiknya yang lain tidak tetap membataskan mereka untuk menghulurkan bantuan secukupnya.

Namun dia bersyukur kerana orang kampung dan saudara mara memberi perhatian menghulurkan sumbangan kepada keluarganya.

Kepayahan hidup Surazmi dan keluarga turut mendapat perhatian Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Besar, Khairul Anuar Ahmad yang menghulurkan bantuan barang keperluan serta wang tunai kepadanya semalam.







Bantah di Bintong


Bantah bina laluan lencongan



  • Antara penduduk yang membantah jalan lencongan di kawasan perumahan terbabit.
KANGAR - Kira-kira 100 penduduk Taman Seri Bintong Maju, dekat sini membantah pembinaan jalan lencongan di kawasan perumahan mereka yang didakwa akan menutup jalan sedia ada selain menjejaskan keselamatan.

Wakil penduduk, Idris Md Nor, 66, berkata, lencongan itu dibuat untuk menggantikan lorong utama kawasan perumahan yang akan ditutup bagi menyiapkan projek lencongan banjir barat empangan Timah Tasoh.

Menurutnya, dua lorong di kawasan perumahan terbabit yang ditutup menyebabkan penduduk sukar melakukan aktiviti seharian.

“Jalan lencongan itu menyebabkan penduduk terpaksa melalui jalan yang lebih jauh untuk keluar masuk ke kawasan perumahan mereka bagi melakukan aktiviti seharian.

“Kami risau jika beberapa lorong turut ditutup, pasti penduduk sukar untuk melakukan aktiviti terutamanya untuk mengadakan majlis kenduri di rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Roziah Jaya, 50, pembinaan jambatan untuk projek terbabit dijangka mengganggu keselamatan apabila didakwa akan dibina melebihi ketinggian bumbung rumah penduduk.

Katanya, jambatan yang tinggi itu akan menyebabkan rumah di situ seolah-olah berada di bawah jambatan dan boleh menyebabkan kecederaan jika objek ataupun kereta terjatuh ke bumbung rumah.

“Kami harap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah yang kami bakal hadapi.

“Penduduk sama sekali tidak menolak pembangunan yang dilakukan untuk kebaikan rakyat tetapi proses melakukan pembangunan terbabit sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPS Perlis, Nishad Mohamed Mohd Shaffy berkata, laluan susur keluar dari kawasan taman itu dibina sebagai kemudahan penduduk bagi menggantikan jalan sedia ada yang perlu ditutup untuk projek lencongan banjir terbabit.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan penduduk dan kontraktor terlibat bagi menjelaskan kepada penduduk mengenai projek berkenaan.

“Sama ada minggu ini atau minggu depan, pegawai JPS akan ke sana untuk memberi penerangan mengenai jalan dan lorong yang akan ditutup selain jambatan yang akan dibina.

“Kerja-kerja pembinaan masih di peringkat awal dan pihak kami memberi jaminan bahawa projek terbabit tidak akan menjejaskan keselamatan penduduk,” katanya.







Tip - Suami Isteri Bahagia


Raja Muda Perlis kongsi tip suami isteri bahagia

 
 
KANGAR - Pupuk kasih sayang, toleransi dan berbelas kasihan merupakan tiga elemen yang harus dijadikan asas utama dan disuburkan dalam keluarga bagi melahirkan rumah tangga yang damai dan sejahtera.

Berkongsi tip itu dengan rakyat semalam, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kehidupan suami isteri pada zaman sekarang berdepan dengan pelbagai cabaran yang boleh menggugat keharmonian rumah tangga.

“Pergaulan sosial yang terlalu bebas dan penyalahgunaan media sosial antara punca yang boleh mencetuskan konflik dalam sesebuah keluarga,” titah baginda semasa merasmikan Bicara Sakinah, di sini.

Titah Tuanku Syed Faizuddin lagi ibu bapa juga mesti bijak menguruskan dan menyelesaikan sebarang masalah antara mereka berdua agar dapat dijadikan contoh oleh anak-anak.   

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan puteri sulung Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Hadir sama Menteri Besar Azlan Man dan exco kerajaan negeri.





Sekolah Agama Berasarama Penuh No 2


Sekolah agama berasrama penuh pertama Perlis



  •   Azlan Man
KANGAR - Perlis bakal memiliki sekolah agama berasrama penuh iaitu yang pertama di negeri itu, kata Menteri Besar Azlan Man.

Katanya perkara itu telah dipersetujui secara prinsip oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan.

Pembinaan sekolah itu akan dilaksana dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) atau RMK11, katanya semasa berucap dalam perjumpaan dengan pemimpin Umno di negeri itu, di sini malam tadi.

Katanya jika direalisasikan, Perlis akan mempunyai dua sekolah berasrama penuh termasuk Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di Behor Pulai.

Diharapkan kewujudan sekolah agama berasrama penuh ini dapat menampung keperluan, selain menarik minat lebih ramai pelajar mengikuti pengajian sekolah menengah aliran agama, katanya.

Selain itu kata Azlan, Perlis juga bakal mempunyai sebuah lagi universiti swasta.

Bagi merancakkan lagi pembangunan Perlis, kerajaan negeri merancang membina perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), katanya dan menambah sebuah terminal pengangkutan awam akan turut dibina tidak lama lagi.

Beliau berkata permintaan terhadap pengangkutan awam di Perlis dijangka meningkat susulan pembukaan banyak pusat pengajian tinggi.

Antara yang hadir di majlis itu ialah bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan bekas Anggota Parlimen Kangar Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.



Asrama Penuh ok......jangan Penuh Berasmara je





Valentine Day


Maksiat malam Hari Kekasih
  • Seorang lelaki berasal dari Pulau Langkawi (kiri) bersama pasangannya (duduk, kanan) ditahan di oleh penguatkuasa Jaik dalam Ops Kekasih, semalam.
ALOR SETAR - Dua lelaki dari Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor, Perak, ditahan bersama pasangan masing-masing kerana disyaki berkhalwat di dua hotel bajet berasingan, di sini malam kelmarin.

Serbuan sempena Operasi Kekasih (Ops Kekasih) yang dilakukan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) itu memberi tumpuan di hotel-hotel bajet sekitar bandaraya Alor Setar menjelang Hari Kekasih.

Dalam serbuan pertama di sebuah hotel bajet Jalan Lengcong Barat, Tandop, dekat sini, lelaki berusia 31 tahun dari Langkawi yang juga suami orang itu ditahan dengan mengambil masa kira-kira 40 minit sebelum membuka pintu bilik.

Hasil pemeriksaan penguatkuasa mendapati pasangannya wanita berusia 30 tahun menyembunyikan diri di dalam bilik air.

Penolong Pengarah Undang-undang Syariah Jaik, Sheikh Mohd Roshidi Mohammad berkata, lelaki yang mempunyai dua anak itu memberi alasan tidak melakukan apa-apa perbuatan salah.

“Mereka memberi alasan bertemu untuk berkongsi masalah peribadi selepas saling mengenali empat tahun lalu.

“Ketika diserbu pasang itu berpakaian lengkap dan turut memberi alasan sedang tidur ketika pintu bilik diketuk. Hasil siasatan mendapati mereka  tidak mempunyai sebarang hubungan yang sah,” katanya

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di sebuah hotel di Jalan Putra, di sini, Jaik menahan seorang wanita berasal dari Sungai Tiang, Pendang, bersama kekasihnya yang berasal dari Pulau Pangkor.

Ketika diserbu pasangan berkenaan enggan bekerjasama kepada pihak berkuasa dengan memberi pelbagai alasan supaya mereka dilepaskan.

Pasang terbabit turut memberi alasan akan berkahwin dalam masa terdekat bagi mengelak daripada ditahan.

Wanita yang bekerja di sebuah hospital swasta dan pasangannya itu, bagaimanapun akur dan menurut perintah penguat kuasa.

Mereka dipercayai mendaftar masuk hotel berkenaan beberapa jam sebelum serbuan dilakukan.



Kekasih pasar raya dicekup

 

Dalam serbuan berlainan, seorang lelaki memberi alasan untuk menumpang tandas di rumah kekasihnya ketika diserbu penguatkuasa Jaik di sebuah rumah flat, Jalan Kuala Sungai, dekat sini.

Pasangan itu yang juga pekerja sebuah pasar raya besar ditahan dalam keadaan mencurigakan apabila pihak berkuasa mendapati pintu gril dan pintu utama rumah berkenaan dalam keadaan berkunci.

Selepas pintu rumah diketuk kira-kira lima minit, seorang wanita berusia awal 20-an membuka pintu. Manakala pasangannya keluar daripada bilik air dalam berseluar jeans tanpa memakai baju.

Hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai sebarang ikatan yang sah.


Operasi kurangkan gejala maksiat



(Penguatkuasa lawa)


Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga jam 4 pagi itu, Jaik berjaya menahan empat pasangan yang masing-masing tidak mempunyai hubungan yang sah.

Operasi yang dianggotai 38 penguatkuasa termasuk anggota Rela Rakan Persatuan Komunikasi dan Keselamatan Melayu Kedah (KMK) memperlihatkan usaha membanteras gejala maksiat pada malam perayaan tertentu berhasil.

Sheikh Mohd Roshidi berkata, selain serbuan di hotel-hotel bajet yang menjadi sarang maksiat, pihaknya turut menerima aduan dan maklumat orang awam mengenai aktiviti tidak bermoral di rumah kediaman.

“Hasil operasi malam ini kita mendapati gejala maksiat di sekitar bandar raya ini semakin berkurangan berbanding tahun-tahun lalu.

“Ini adalah kesan daripada pemantauan dan serbuan yang dilakukan pihak kami dari semasa ke semasa. Bagaimanapun kita akan terus membuat pemantauan supaya kegiatan tidak bermoral diperangi habis-habisan,” katanya.

Menurut beliau, pada operasi yang sama tahun lalu pihaknya berjaya menahan 10 pasangan yang turut membabitkan operasi di hotel-hotel bajet.

Beliau berkata, kesemua empat pasangan yang ditahan dalam Ops Kekasih itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Setar untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Jaik untuk siasatan lanjut.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 9 (1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988. Hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah,” katanya.


Geng Perlis ......sambut kat mana ye......x kan dalam hutan.







2 Sekolah di tutup


Asap tebal: Dua sekolah terpaksa ditutup



  • Arahan sekolah ditutup yang dilekatkan di pagar SK Pauh.
ARAU - Dua sekolah di Arau ditutup berikutan asap tebal dari tapak pelupusan sampah di Padang Siding Pauh di sini, semalam.

Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa berkata, dua sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari tapak berkenaan.

Katanya, kedua-dua sekolah itu terpaksa ditutup apabila pihaknya khuatir asap tebal yang menyelubungi sekolah terbabit menjejaskan kesihatan murid.

“Asap tebal dari tempat pelupusan sampah ini berkemungkinan mengeluarkan gas-gas yang membahayakan kesihatan, pihak jabatan sangat prihatin mengenai perkara ini.

“Saya difahamkan sekiranya murid-murid sekolah ini menghidu asap yang beracun, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kepada mereka,” katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan ke SK Pauh, semalam.

Katanya, sekolah itu akan dibuka semula sekiranya keadaan sudah tidak membahayakan kepada murid.

Sementara itu, Ketua balai Bomba Arau Mohd Kifli Hamid berkata, pihak bomba mengambil langkah mengawal kebakaran di pusat pelupusan sampah terbabit 24 jam sehari bagi memastikan kebakaran itu tidak merebak.

Beliau berkata, setakat semalam sebanyak 40 peratus kebakaran itu berjaya dikawal sejak kebakaran berlaku pada Selasa lalu.

Katanya, ia meliputi kawasan hampir 5.1 hektar, namun pihak bomba masih mengalami kesukaran untuk memadam api yang merebak ke bahagian sampah yang sudah mendap hampir 20 kaki.

“Keadaan api yang menyala di bawah di samping angin yang bertiup di musim panas ini menyebabkan asap tebal sehingga menyelubungi kawasan sekitar Pauh termasuk di sekolah yang berdekatan.

“Kejadian ini akan berlanjutan beberapa hari lagi, pihak bomba masih tidak dapat memastikan tempoh kebakaran ini dapat dikawal sepenuhnya,”katanya.

Kawasan pelupusan sampah di Padang Siding ini beroperasi sejak 2007 selepas tapak pelupusan sampah di Kuala Perlis ditutup.









Sedut Asap Sampah - Arau



Penduduk sedut asap sampah
  • Azlan melawat tapak pelupusan sampah yang terbakar malam semalam 
ARAU- Kira-kira 500 penduduk di sekitar Pauh dekat sini terjejas dengan asap sampah yang busuk apabila Pusat Pelupusan Sampah Padang Siding Pauh terbakar sejak dua hari lalu.

Kebakaran turut menjejaskan pelajar di tiga sekolah terdekat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Badariah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh.

Menurut Pengarah Pelajaran Negeri Dun Kasa ketiga-tiga sekolah tersebut tidak ditutup namun bagi pelajar yang mengadu pening, batuk, sakit kepala, asma, mereka dibenarkan pulang ke rumah.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar telah mengedarkan topeng muka kepada pelajar namun bagi yang mengadu sesak nafas, mereka akan dibenarkan pulang.




“Kira-kira 30 murid SK Pauh dibenarkan pulang hari ini (semalam) manakala dua murid lagi dari SJKC Sin Min, proses pembelajaran dan pengajaran diteruskan seperti biasa,” katanya ketika melawat sekolah tersebut, di sini semalam.

Menteri Besar Azlan Man berkata biarpun api dapat dikawal malam semalam oleh pihak bomba namun itu hanya pada permukaan sampah.

Kata beliau timbunan sampah yang sangat dalam itu menyukarkan bomba memadam kebakaran yang dipercayai telah merebak di bahagian itu.





“Sampah itu ditimbus hampir 50 kaki, justeru pihak bomba memerlukan beberapa hari lagi bagi memastikan api itu dapat dikawal sepenuhnya.

“Saya difahamkan oleh pegawai bomba, usaha memadam kebakaran itu telah dilakukan sejak dua hari lepas namun api kembali marak kerana faktor timbunan sampah yang terlalu dalam serta keadaan cuaca yang terlalu kering dan panas,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (Dun) semalam.

Azlan berkata bagi mengatasi masalah itu dalam jangka masa panjang, kerajaan telah menyediakan tempat untuk dijadikan tapak pelupusan sampah baru di Rimba Emas, Titi Tinggi, Padang Besar.

Katanya tapak baru itu menggunakan teknologi tinggi seperti di Jepun dan Jerman supaya sampah-sampah dapat dikitar semula dan tidak menjejaskan penduduk setempat.

“Projek kerajaan persekutuan itu telah diluluskan namun kerajaan negeri masih lagi dalam proses untuk memberi pemahaman kepada penduduk sekitar sebelum ia dibangunkan.

“Untuk jangka masa pendek mungkin kita akan bina pengadang  kira-kira 20 meter dari penempatan penduduk supaya api tidak merebak selepas ini selain ia tidak lagi dibuka kepada orang ramai yang mencari barang-barang terbuang,” jelas beliau.








Majukan Kuala Perlis - MB



MB mahu Kuala Perlis dibangunkan

Menteri Besar Azlan Man berkata untuk tujuan itu lebih banyak prasarana dan keperluan pelancong akan dibina bagi menggalakkan mereka bermalam di Kuala Perlis.

"Jika selama ini pelancong hanya singgah untuk makan semasa dalam perjalanan pergi atau pulang dari Langkawi, dengan adanya kemudahan ini saya yakin mereka akan tertarik untuk bermalam sekurang-kurangnya satu malam.

"Kerajaan sekarang tidak mahu melihat industri pelancongan yang menjana ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Perlis berlalu begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Malam Penghargaan Winter Wonderland Hotel Brasmana' di Kuala Perlis, malam tadi.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan kira-kira lima peratus daripada keseluruhan pelawat ke Perlis bermalam di Kuala Perlis dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu katanya, usaha membangunkan Kuala Perlis sebagai destinasi pelancongan memerlukan kerjasama pihak swasta bagi mengatasi kekangan kewangan kerajaan negeri.

Bagi pihak kerajaan pula, antara langkah yang diambil ialah menaik taraf Jeti Feri Kuala Perlis dan memasang lebih banyak lampu dan hiasan bagi memperindah kawasan itu.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan pemain-pemain industri pelancongan agar tidak berasa selesa dengan pencapaian mereka, sebaliknya terus berusaha dengan idea-idea kreatif dan inovatif untuk memikat pelancong.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan Hotel Brasmana yang mengadakan sambutan musim 'angin timur' dalam membawa kelainan untuk menarik pengunjung.