Selasa, 12 Mac 2013

UPP Chuping


UPP patahkan cubaan seludup arak

 PADANG BESAR 8 Mac - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Chuping hari ini berjaya mematahkan cubaan seorang peniaga restoran untuk menyeludup arak bernilai RM1,144 yang telah disembunyikan di dalam enjin dan bonet kereta dipandunya.

 Komander UPP Chuping, Asisten Suprintendan Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki yang berusia 40-an itu ditahan hasil maklumat awam di Dataran Terinai di Jalan Padang Besar-Kangar kira-kira pukul 11 pagi.

"Sebanyak 143 tin minuman yang kandungannya ialah 500 mililiter setiap satu itu disyaki telah dibeli suspek di negara jiran untuk dijual di premisnya di Alor Setar, Kedah," katanya dalam sidang akhbar di UPP Chuping di sini hari ini.

Beliau berkata, peniaga berkenaan disyaki tidak mengisytiharkan kepada pihak kastam ketika melalui pintu sempadan.

Katanya, suspek dan barangan yang dirampas itu diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan lanjut dan siasatan.

Sementara itu, katanya, UPP turut menahan seorang lelaki berusia 40-an kerana menyeludup masuk pelbagai jersi dan kasut sukan jenama tiruan setelah menahan sebuah van di Kilometer 24, Jalan Padang Besar-Ulu Pauh di sini semalam.

"Lelaki itu ditahan dalam sekatan jalan raya pada pukul 5 petang. Hasil pemeriksaan itu kita telah menemukan dua guni yang berisi pakaian sukan dan kasut.

"Guni itu mengandungi 123 pasang kasut sukan jenama Adidas, 13 pasang kasut Nike dan berbagai jenis jersi sukan yang dipercayai tiruan yang dibawa dari negara jiran," katanya.









  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan