Selasa, 12 Mac 2013

PATI Warga Myanmar


20 Pati dikenakan hukuman


Semua Pati yang ditahan dibawa masuk ke mahkamah untuk perbicaraan.
 
KANGAR - Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas tuduhan memasuki negara ini secara haram dengan menaiki dua kereta ketika ditahan pasukan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di Jalan Menerong, Titi Tinggi, dekat sini, 5 Januari lalu.

Sejurus pengakuan salah diterima, Majistret, Zuhair Rosli memerintahkan seramai enam tertuduh yang merupakan kanak-kanak bawah umur dilepaskan dengan amaran keras daripada pihak Imigresen bagi tujuan pengusiran.

Manakala, 14 Pati lagi yang terlibat dikenakan hukuman setimpal selepas menerima pengakuan salah iaitu penjara selama tiga bulan bermula dari tarikh ditangkap dan selepas tempoh berkenaan dirujuk kepada pihak Imigresen untuk tujuan pengusiran balik ke negara asal.

Ketika perbicaraan, Zuhair turut menanyakan beberapa soalan kepada tertuduh yang terdiri daripada kanak-kanak bawah umur berhubung kemasukan mereka ke negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

“Sudah berapa lama kamu datang ke Malaysia dan adakah daripada kalangan kamu datang ke negara ini bersama waris yang terdekat,” soal Zuhair.

Dengan menggunakan Jurubahasa Myanmar yang didatangkan khas dari Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semua kanak-kanak terbabit memberi jawapan bahawa mereka tiba ke Malaysia ketika hari sama ditahan, manakala mereka juga tidak ditemani waris untuk ke negara ini.

Ketika perbicaraan itu juga, mereka turut merayu kepada majistret agar diringankan hukuman dengan alasan kebanyakan ibu bapa mereka sudah meninggal dunia akibat rusuhan yang berlaku di negara berkenaan.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan