Selasa, 24 November 2009

Berita Semasa

Sentral: Video lucah RM5

PERLIS PUN APA KURANG NYA ( tu pun ada yg tak percaya )




KEDAI aksesori telefon bimbit di pekan Dengkil menyediakan perkhidmatan muat turun gambar dan video lucah.

Kedai aksesori telefon bimbit Dengkil kutip jualan lumayan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan muat turun gambar dan video lucah untuk peminat bahan pornografi termasuk pekerja asing dan pelajar oleh segelintir pemilik kedai telefon bimbit di pekan Dengkil, Sepang di sini, dikatakan mampu membawa pulangan lumayan hingga membolehkan mereka hidup mewah hasil kegiatan itu.

Menurut sumber, peniaga menawarkan perkhidmatan itu kerana modal diperlukan amat kecil iaitu tidak sampai RM10 bagi membeli perisian cetak rompak, sedangkan keuntungan bakal diperoleh pula amat tinggi hingga mencecah beribu ringgit sebulan.
Hasil tinjauan Sentral di sekitar Taman Dengkil Jaya dan pekan Dengkil baru-baru ini mendapati perkhidmatan itu ditawarkan kebanyakan premis menjual aksesori telefon bimbit.

Bagaimanapun, difahamkan sebagai langkah keselamatan untuk mengelakkan serbuan pihak berkuasa, peniaga tidak menyimpan koleksi gambar dan klip video dalam komputer sebaliknya hanya dimuat turun selepas diminta pelanggan tetap masing-masing.

Malah, peniaga terbabit juga didapati dengan selambanya menawarkan perkhidmatan itu kepada pelanggan tetap dengan berkata, “You mau gambar amoi cantik ke?”



GAMBAR lucah yang dimuat turun dalam telefon bimbit.

Namun, pelawaan secara terbuka itu hanya ditujukan kepada golongan dewasa, manakala golongan remaja yang berminat perlu menggunakan 'kata laluan' tertentu seperti “Bos, baik punya ada?” bagi mendapatkan khidmat muat turun video lucah ke dalam telefon bimbit mereka.

Seorang remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Azam berkata, kata laluan itu penting bagi meyakinkan peniaga bahawa pelanggan adalah penggemar bahan lucah.

Katanya, selepas memberi kata laluan, pelanggan diberi kebebasan memilih jenis filem lucah diingini berdasarkan katalog atau demo dalam komputer riba peniaga berkenaan.

Bagaimanapun, tidak semua telefon bimbit boleh memuat turun bahan itu, kecuali telefon bimbit yang menggunakan kad memori multimedia (MMC) berkapasiti 32, 64, 128, 256 dan 512 megabait.
“Tidak sukar mendapatkan gambar dan video lucah di sini kerana kebanyakan peniaga aksesori telefon bimbit memang menawarkan perkhidmatan itu.

“Malah, ada peniaga yang mampu mengambil masa kurang 10 minit untuk memuat turun berpuluh gambar dan klip video lucah yang diingini mereka ke dalam MMC,” katanya.

Sehubungan itu, Azam berkata, kebanyakan peniaga lebih gemar menggunakan kaedah meminta MMC dan kabel USB kerana dianggap lebih selamat.

“Jika menggunakan MMC dan kabel USB, aktiviti muat turun dapat dilakukan secara tersembunyi tanpa disedari pelanggan lain, jadi peniaga boleh melayan pelanggannya sambil membiarkan proses muat turun berjalan.

“Setiap kali memuat turun video lucah, saya berbelanja antara RM5 hingga RM10 untuk memperoleh kira-kira lima atau enam video lucah dengan tempoh paparan sekitar 10 hingga 20 minit bagi setiap video,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan video lucah dalam telefon bimbitnya disebarkan pada rakannya secara percuma dan begitu juga rakannya akan menyebarkannya video terbaru apabila mereka membelinya.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Johan, pula melahirkan kebimbangan bahawa kegiatan muat turun gambar dan video lucah terbabit akan menimbulkan pelbagai masalah sosial lain termasuk perhubungan seks rambang dan peningkatan jenayah rogol di kalangan masyarakat setempat.

Berikutan itu, Johan berkata, beliau berharap pihak berkuasa terutama polis dapat memantau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah gejala sosial terbabit.



RM8j lesap pajak gadai Ar-Rahnu diceroboh

Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my



ANGGOTA polis sedang memeriksa bongkah dinding konkrit setebal 12 inci yang ditebuk sekumpulan penyamun sebelum melarikan barangan kemas dan wang tunai bernilai hampir RM8 juta, di Kangar, semalam.

KANGAR: Perompak melarikan barangan kemas dan wang tunai bernilai hampir RM8 juta, dipercayai antara yang terbesar di negara ini, selepas memecah masuk kedai pajak gadai Ar-Rahnu milik Yayasan Islam Perlis (YIPs), di Taman Sena di sini, malam kelmarin.

Semua barangan kemas bernilai kira-kira RM7.7 juta dan wang tunai RM68,000 yang disimpan di dalam beberapa kabinet di dalam bilik kebal pajak gadai itu, dipercayai dilarikan antara tengah malam kelmarin dan 11 pagi semalam.

Kumpulan penjenayah terbabit memecah masuk premis itu selepas mengumpil pintu dan jeriji besi di bahagian belakang bangunan berkenaan.
Perompak itu kemudian dipercayai menggunakan gerudi menebuk satu lubang besar pada dinding bilik kebal pajak gadai berkenaan sebelum masuk ke ruang itu dan melarikan semua barangan kemas dan wang tunai yang disimpan di dalamnya.

Sebelum memecah masuk, kumpulan itu juga dikatakan memotong kabel penggera keselamatan dan talian telefon yang di-

pasang di premis berkenaan.
BONGKAH dinding konkrit setebal 12 inci yang ditebuk penyamun.

Mengikut sumber, lubang yang ditebuk pada dinding bilik kebal berkenaan boleh meloloskan badan bersaiz sederhana.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika ditemui mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana kejadian itu masih dalam siasatan.

Berdasarkan maklumat awal katanya, pengurusan kedai pajak gadai itu menganggarkan jumlah kerugian dialami mencecah RM8 juta iaitu membabitkan wang tunai dan emas yang digadai pelanggan.

"Buat masa sekarang, kita sedang mengumpulkan maklumat mengenai kes ini, termasuk mengenal pasti identiti suspek berdasarkan persamaan dalam modus operandi dengan beberapa kejadian di negeri lain," katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan malam hari dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Perlis iaitu 04-9711999.

Hujung tahun lalu, Ar-Rahn milik Kumpulan Permodalan Kelantan Berhad anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ikhtisas Negeri Kelantan, dirompak barangan kemas bernilai kira-kira RM18 juta yang disimpan dalam 238 peti simpanan.



Polis syak Ar-Rahnu YIPs dirompak kumpulan sama


KANGAR: Polis tidak menolak kemungkinan rompakan kedai pajak gadai Islam Ar-Rahnu milik Yayasan Islam Perlis (YIPs) di sini, kelmarin yang menyebabkan kerugian RM8 juta ada kaitan dengan beberapa kes sama sebelum ini, termasuk di Kelantan.

Dengan kewujudan persamaan yang jelas antara kes terbabit, polis tidak menolak kemungkinan rompakan di Taman Sena dilakukan kumpulan sama yang memecah masuk beberapa premis Ar-Rahnu sebelum ini.
Selain rompakan pajak gadai Ar-Rahnu di Perlis dan Kelantan (tahun lalu), kes lain yang dikenal pasti mempunyai modus operandi sama membabitkan rompakan di Bahau, Negeri Sembilan dan Rompin, Pahang, baru-baru ini.

Dalam kedua-dua kes itu, penjenayah bukan saja menjadikan premis pajak gadai Ar-Rahnu sebagai sasaran, tetapi turut menggunakan modus operandi sama iaitu memecah masuk bilik kebal melalui lubang yang digerudi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata polis akan mengambil kira semua aspek terutama persamaan yang wujud dalam kes di Perlis dengan beberapa kes terdahulu, untuk membantu melengkapkan siasatan polis.
“Kita akan ambil kira setiap fakta kerana ia penting untuk membantu polis mengenal pasti identiti kumpulan penjenayah, sekali gus memudahkan siasatan dilakukan,” katanya.

Kelmarin, premis pajak gadai Ar-Rahnu milik YIPs kerugian hampir RM8 juta selepas pelbagai barangan kemas bernilai RM7.7 juta dan wang tunai RM68,000 yang disimpan di dalam bilik kebal premis itu dilarikan sekumpulan penjenayah.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam kelmarin dan 11 pagi kelmarin itu, penyamun dikatakan mengumpil pintu dan jeriji besi bahagian belakang premis, sebelum memecah masuk bilik kebal dengan menebuk lubang pada dinding ruang berkenaan.

Mereka juga memotong kabel penggera keselamatan dan talian telefon ke premis itu.



Utara: Perlis jamin bayar ganti rugi barang kemas hilang


KANGAR: Kerajaan negeri memberi jaminan membayar ganti rugi kepada semua pemilik barang kemas yang dilaporkan hilang selepas bilik kebal premis Ar-Rahnu milik Yayasan Islam Perlis (YIPs) di sini, dipecah masuk Ahad lalu.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembangunan As-Sunnah negeri, Jafperi Othman, meminta semua pemilik supaya bersabar sementara menunggu makluman daripada pihaknya.

Buat masa sekarang katanya, pihaknya akan menghubungi semua pemilik untuk memaklumkan mengenai kes berkenaan secara bertulis.
"Kita mempunyai rekod mengenai setiap urus niaga yang dibuat di Ar-Rahnu berkenaan, termasuk barangan yang digadai pelanggan.

"Malah, kita juga mempunyai mekanisme untuk mengendalikan situasi sedemikian dan kaedah itu sudah dibincangkan pihak jawatankuasa syarikat sebagai alternatif," katanya.

Ahad lalu, kedai pajak gadai Ar-Rahnu di Taman Sena, di sini, dilapor kerugian hampir RM8 juta selepas semua barangan kemas bernilai RM7.7 juta dan wang tunai RM68,000 yang disimpan di dalam bilik kebal premis itu dilarikan penyamun.
Dalam kejadian itu, sekumpulan penjenayah dikatakan mengumpil pintu dan jeriji belakang premis sebelum memecah masuk ke bilik kebal dengan menebuk satu lubang besar sebagai laluan pada dinding ruang berkenaan.

Sementara itu, Jafperi ketika ditanya mengenai jumlah pemilik barangan kemas yang terbabit dalam kes itu, bagaimanapun enggan mendedahkannya.

"Jumlah pelanggan terbabit tidak dapat saya beritahu, tetapi cukup kalau saya kata bilangannya ramai.

"Hari ini saja pun kira-kira 50 pelanggan saya jumpa ketika mereka datang untuk bertanyakan mengenai kedudukan sebenar kes.
"Apa pun saya harap semua pelanggan dapat bersabar sementara menunggu kes ini disiasat dan kami berjanji tindakan sewajarnya akan disusuli secepat mungkin," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan